fbpx

MBN Perak perlu terus pupuk semangat nasionalisme, profesionalisme – Saarani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (tiga dari kanan) ketika merasmikan Karnival Sambutan Hari Belia Negara dan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Perak 2024 di Kompleks Belia dan Sukan di Ipoh hari ini.

IPOH – Majlis Belia Negeri (MBN) Perak perlu meneruskan usaha untuk memupuk semangat nasionalisme dan profesionalisme dalam kalangan belia demi kepentingan masyarakat dan negara.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peranan itu harus dimainkan pihak terbabit kerana ia merupakan satu badan induk pertubuhan belia yang berpengaruh di peringkat negeri.

Justeru, beliau berkata, sumbangan MBN Perak dalam menjayakan agenda ini amat penting dan tidak boleh dikesampingkan.

“MBN Perak sudah tentunya komited dalam memastikan pembangunan belia yang seimbang dan menyeluruh. Ini merangkumi pelbagai aspek penting seperti ekonomi, sosial, mental, fizikal, akhlak dan politik.

“Keseimbangan dalam kesemua aspek ini adalah kunci kepada pembentukan generasi belia yang holistik dan berdaya saing,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Sambutan Hari Belia Negara dan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Perak 2024 di Kompleks Belia dan Sukan di sini hari ini.

Pada masa sama, Saarani berkata, belia juga harus sentiasa mempersiapkan diri agar menjadi individu yang matang, kreatif, proaktif dan bertanggungjawab.

Beliau turut berkata, dalam mendepani transisi kepimpinan dan keahlian pertubuhan belia pula, semua pihak perlu memikirkan solusi yang mantap dan berkesan untuk memimpin generasi belia berusia 30 tahun ke bawah.

“Ini bagi memastikan mereka terus maju ke hadapan dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

“Komposisi kepimpinan yang inklusif dan pelbagai adalah amat penting supaya pertubuhan belia kekal relevan serta berupaya menghadapi cabaran dan krisis yang mendatang,” katanya.

Di samping itu, beliau turut menyeru agar semua pertubuhan belia memberi perhatian serius terhadap usaha memperkasa keahlian kaum wanita di setiap peringkat kepimpinan.

“Golongan wanita perlu diberi ruang dan peluang yang saksama untuk beraktiviti dan berorganisasi dalam pertubuhan belia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI