MEKAH – Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya menjaga tanda pengenalan yang diberikan Lembaga Tabung Haji (TH) sepanjang berada di Tanah Suci bagi memastikan mereka dapat dikenali dan dibantu sekiranya berdepan sebarang masalah.
Pengurus Khidmat Pelanggan Tabung Haji di Mekah, Mohamad Zakee Mohd. Zaludin berkata, sebanyak 71 aduan diterima pihaknya sejak 9 Mei lalu dengan 87 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.
Menurutnya, kebanyakan kes berkaitan kehilangan tanda pengenalan diri seperti lanyard (tali penyandang) dan gelang haji.
“Semua jemaah haji kita perlu menjaga tanda pengenalan masing-masing seperti lanyard, lencana dan juga gelang haji ketika di Mekah.
“Ini penting sebab ia menjadi tanda pengenalan kita sepanjang masa di sana (Mekah) nanti dan bukannya pengenalan atau dokumen penting sebagaimana di Malaysia,” katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini.
Selain kehilangan lanyard, katanya, aduan diterima setakat ini hanya melibatkan hal-hal kecil yang berkisar tentang masalah di tempat penginapan seperti kerosakan penghawa dingin.
Tambah Mohd. Zakee, pihaknya akan berusaha untuk menanganinya dalam tempoh 24 hingga 72 jam bergantung kepada permasalahan yang dikemukakan.
Dalam pada itu, jelasnya, pasukan peronda TH akan bertugas selama 24 jam di lapan lokasi khusus di sekitar Masjidil Haram bagi membantu jemaah haji Malaysia, terutama dari segi pandu arah demi memastikan keselamatan mereka.
Antara kawasan terlibat adalah dua kawasan di sekitar Marwah, sekitar pintu Assalam, dataran Safwah, kawasan dataran laluan ke Misfalah dan berhadapan pintu King Abdullah.
Beliau berkata, kebanyakan kes jemaah tersasar adalah melibatkan mereka yang kali pertama tiba Tanah Suci dan belum pernah menunaikan umrah sebelum ini terutama dalam kalangan warga emas.
“Jadi sebab itu kita tempatkan Pasukan Peronda TH di lapan kawasan utama di sekitar Masjidil Haram untuk melihat pergerakan mereka dan memantau pergerakan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE