GERIK – Seekor gajah betina diselamatkan selepas terjatuh ke dalam longkang sedalam 1.5 meter di Batu 11, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Tugu Peringatan JRTB, di sini semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, maklumat kejadian itu diterima pihaknya pada pukul 8 pagi yang mana seramai tujuh kakitangan digerakkan ke lokasi.
Katanya, pelbagai usaha dijalankan bagi membawa keluar gajah liar berusia sembilan tahun itu termasuk menggunakan jengkaut.
“Kerja-kerja menyelamatkan haiwan itu mengambil masa lima jam dengan dibantu Jabatan Kerja Raya (JKR), polis dan syarikat konsesi Belati Wangsa. Gajah betina itu disahkan dalam keadaan sihat sebelum dihalau ke hutan simpan berhampiran,” katanya.
Terdahulu, tular beberapa gambar dan video yang memaparkan seekor gajah terperangkap di dalam longkang dengan usaha-usaha menyelamat dilakukan oleh agensi berkaitan. – KOSMO! ONLINE