JERANTUT – Felcra Berhad (Felcra) mengorak langkah kehadapan dalam merancakkan landskap pembangunan luar bandar dengan pembinaan Projek Loji Janakuasa Biogas terbesar di Malaysia di Kilang Sawit Felcra Jayaputra di sini.
Kilang janakuasa biogas daripada efluen sawit dengan grid bersambung berkapasiti 5.5 megawatt (MW) itu mula beroperasi sepenuhnya pada 11 April lalu.
Janakuasa biogas tersebut mampu membekalkan tenaga elektrik kepada hampir 14,000 rumah atau kira-kira 70,000 orang penduduk luar bandar yang bakal menikmati bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi.
Malah loji janakuasa biogas grid bersambung terbesar di Malaysia itu juga mendapat pengiktirafan oleh Malaysia Book of Record sekaligus menyaksikan kejayaan hasil kerjasama strategik antara Felcra Berhad, Felcra Jayaputra Sdn Bhd dan Cenergi SEA Berhad (Cenergi) iaitu anak syarikat UEM Group Berhad.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penerokaan sumber tenaga boleh diperbaharui melalui projek biogas dari sisa efluen kelapa sawit itu merupakan inisiatif strategik bagi memastikan negara terus memperolehi sumber tenaga elektrik secara berterusan di samping menjamin kelestarian alam sekitar.
Jelasnya untuk mencapai aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam tempoh lima ke lapan tahun akan datang, keperluan bekalan tenaga elektrik yang stabil dan konsisten memainkan peranan yang penting dalam proses pembangunan, pertumbuhan, perindustrian dan perbandaran.
“Saya mengucapkan tahniah dan tadi kita menyaksikan bahawa Malaysia Book of Record diperolehi oleh kilang biogas di Jerantut Pahang ini dan insya Allah dalam tempoh dua atau tiga bulan daripada sekarang mereka akan dapat anugerah World Book of Record.
“Kita harap ini akan dapat dijayakan dan setakat ini di Malaysia ini merupakan kilang biogas terbesar mengeluarkan 5.5 MW adalah satu janakuasa elektrik yang besar dalam biogas,”katanya.
Menurut Ahmad Zahid kejayaan pembinaan kilang janakuasa biogas ini patut menjadi contoh dan pencetus kepada lebih banyak penerokaan teknologi biogas di negara ini. – KOSMO! ONLINE