PETALING JAYA – Public Health Malaysia (PHM) berkongsi satu fakta mengenai satu daripada lima guru di Malaysia didapati mengalami masalah suara.
Ini kerana, mereka perlu bercakap dengan nada yang lebih kuat sekurang-kurangnya lima hari seminggu apabila berdepan dengan pelajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Menerusi poster yang dimuat naik PHM di akaun Facebooknya semalam, antara gejala yang sering dihadapi oleh kebanyakan guru adalah sakit tekak dan hilang suara.
“Guru akan mengalami suara yang serak dan garau disebabkan perubahan dan masalah pada bahagian peti suara.
“Tugas sebagai seorang guru memerlukan seseorang individu untuk bertutur secara lantang selama tempoh beberapa jam setiap hari, dari isnin sehingga ke jumaat.
“Masuk pula kelas yang bising, murid terlalu ramai sehingga lebih 40 orang dan fasiliti bilik darjah yang terbuka menyebabkan guru perlu meninggikan suara dengan lebih lantang,” kata PHM.
Tambah kumpulan kesihatan itu, antara langkah yang boleh dilakukan adalah dengan melakukan ‘warming up’ suara sebelum sesi mengajar bermula (seperti kelas vokal).
“Kurangkan menjerit di dalam kelas. Dapatkan perhatian pelajar-pelajar di dalam kelas dengan menepuk tangan atau menepuk meja
“Mengajar di tengah tengah kelas berbanding di hadapan dan hanya bercakap jika kelas senyap,” jelas PHM. – KOSMO! ONLINE