KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia terpaksa berhempas pulas sebelum memastikan kemaraan ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand yang berlangsung di Bangkok.
Pada aksi suku akhir sebentar tadi, bekas juara All England itu mengenepikan cabaran pemain China, Lu Guang Zu menerusi kemenangan tiga set 21-13, 16-21, 21-18 dalam tempoh lebih sejam.
Zii Jia yang merupakan pilihan keenam kejohanan menampilkan aksi cukup baik dan tidak berdepan sebarang masalah memenangi set pertama apabila menguasai sepenuhnya perlawanan, sekali gus meletakkan tekanan ke atas Guang Zu.
Bagaimanapun, Guang Zu yang tersentak dengan kekalahan itu kembali memperkemaskan permainan dan berjaya memenangi set kedua 21-16 bagi mengheret Zii Jia beraksi dalam set penentuan.
Aksi set ketiga menyaksikan kedua-dua pemain langsung tidak mahu mengaku kalah apabila saling bertukar servis selain tidak dibezakan dengan jurang mata yang besar.
Pada awalnya, Guang Zu dilihat lebih berpotensi untuk mencatat kemenangan ketika mendahului 14-10, namun Zii Jia menunjukkan semangat juang tinggi apabila mengejar mata demi mata sebelum memuktamadkan kemenangan 21-18.
Selepas meneruskan kemaraan, Zii Jia kini hanya menantikan pemenang perlawanan antara pemain Jepun, Kodai Naraoka dan Chou Tien Chen dari Taiwan yang akan membuat perhitungan sebentar lagi. – KOSMO! ONLINE