KEHANGATAN Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2024 semakin dirasai dengan Jerman bakal menjadi tuan rumah bermula aksi pembuka tirai pada 15 Jun hingga 14 Julai depan.
Difahamkan, beberapa syarikat gergasi tanah air menunjukkan minat untuk menaja sepenuhnya siaran langsung Euro 2024 itu bagi memastikan rakyat Malaysia menontonnya secara percuma.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, satu surat tunjuk minat akan dikeluarkan dalam masa terdekat untuk diserahkan kepada pihak Kementerian Komunikasi serta pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengenai hasrat itu.
“Satu syarikat swasta telah menunjuk minat yang ingin mengambil tajaan untuk Euro 2024, supaya rakyat Malaysia menonton secara percuma daripada berbayar.
“Beberapa syarikat swasta telah mula menujukkan minat dan dalam masa terdekat ini, mereka akan mengeluarkan surat tunjuk minat kepada pihak RTM untuk menaja dan beli siaran ini meskipun harganya bukan murah.
“Jika semuanya berjalan lancar, rakyat Malaysia yang dalam kelompok B40 boleh menikmati siaran percuma Euro di RTM sekali gus menyemarakkan bahang Euro kali ini,” kata sumber tersebut.
Sebagai rekod, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bersedia mempertimbangkan untuk mendapatkan hak siaran Euro 2024 tetapi perlu berbincang dengan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman terlebih dahulu
Fahmi mengakui kejohanan berkenaan mempunyai pengikutnya tersendiri, namun penelitian secara mendalam perlu dilakukan terutamanya kerana ia bakal melibatkan kos yang tinggi.
Saingan Euro 2024 kali ini membabitkan 24 pasukan terbaik benua Eropah dengan pasukan Itali selaku juara bertahan selepas menewaskan England di pentas final edisi 2020 yang lepas. – KOSMO! ONLINE