fbpx

Serangan balai polis: ‘Tinggal aku seorang Ami, lelaki’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azza Fitri (kanan) berkongsi gambar kenangan mereka lapan beradik termasuk Azza Fahmi (kiri) di InstaStorynya hari ini.

PETALING JAYA – “Semoga roh Ami ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” itu luahan sayu abang kepada salah seorang anggota polis yang maut dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi tadi.

Dia yang menggunakan akaun Instagram @azzafitri_ meluahkan rasa rindu terhadap arwah adiknya, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar.

Menurut Azza Fitri, kini hanya tinggal dirinya sahaja anak lelaki dalam kalangan lapan beradik mereka.

Azza Fitri turut memuat naik gambar kenangan bersama kesemua beradik termasuk Allahyarham Azza Fahmi di laman Story Instagramnya (Insta Story) sebentar tadi.

Sementara itu, kakak mereka yang menggunakan akaun Instagram @i.shamiemie berkata, setiap kali melihat media sosial, pasti ramai yang berkongsi kisah arwah adiknya itu.

“Dimana-mana ada kisah kau Ami. Ya Allah, tak kuat kami ini Ami,” tulisnya di ruangan kapsyen InstaStory.

Dalam kejadian berdarah itu, Azza Fahmi dilaporkan maut di lokasi kejadian akibat ditetak di belakang leher dan kepala oleh suspek.

Turut terkorban rakan setugas mangsa, Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said dan seorang lagi, Koperal Mohd. Hasif Roslan mengalami kecederaan.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan dalam kejadian sekitar pukul 2.30 pagi itu, seorang lelaki bertopeng dan berpakaian gelap dengan bersenjatakan parang menceroboh masuk ke kawasan balai polis selain bertindak menyerang anggota terlibat.

Suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata.

Dia melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.

Keganasan suspek dihentikan selepas berjaya ditembak oleh anggota polis yang lain.

Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai tujuh individu telah ditahan termasuk dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) swasta yang masing-masing berusia 22 serta 21 tahun.

Kesemua tujuh individu yang ditahan akan ditahan reman esok bagi membantu siasatan pihak polis berhubung insiden berkenaan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI