PETALING JAYA – Perdana Menteri menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera mencari dalang serangan Balai Polis Ulu Tiram Johor dan menghadapkan pelaku ke muka pengadilan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, insiden itu ternyata memilukan dan menggemparkan negara.
“Sedih tatkala menerima laporan dua anggota polis Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang terbunuh dalam satu serangan ganas awal pagi tadi di Balai Polis Ulu Tiram, Johor.
“Saya juga mendoakan semoga Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera dalam insiden ini diberikan kesembuhan sesegera mungkin,” katanya dalam satu hantaran di aplikasi X tadi.
Dalam pada itu, Anwar turut mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga dua anggota PDRM yang terkorban. – KOSMO! ONLINE