JOHOR BAHRU – Suasana hiba menyelubungi pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini apabila ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa mula mengunjungi hospital itu sejak pagi tadi.
Ada dalam kalangan mereka yang menitiskan air mata selepas menerima perkhabaran tentang insiden serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram tersebut.
Difahamkan, seorang anggota polis yang cedera sudah dipindahkan ke wad biasa manakala mayat anggota polis yang maut pula masih dibedah siasat.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain meluangkan masa melawat dan menyantuni ahli keluarga ketiga-tiga anggota keselamatan tersebut.
Difahamkan, jenazah kedua-dua anggota polis itu akan dibawa pulang ke kampung masing-masing di Bidor, Perak dan Kuantan, Pahang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dijadual mengadakan sidang akhbar berhubung kes serangan itu selepas selesai solat jenazah di Dewan Masjid Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor esok. – KOSMO! ONLINE