PETALING JAYA – Kejadian serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi tadi telah mengorbankan dua anggota polis, manakala seorang lagi mengalami kecederaan selepas premis tersebut diceroboh individu bertopeng.
Dalam pada itu, suspek juga mati ditembak di lokasi kejadian.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai tujuh individu telah ditahan termasuk dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) swasta yang masing-masing berusia 22 serta 21 tahun.
Razarudin berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berusia 21 tahun yang ditembak mati disyaki telah melakukan persediaan rapi untuk melakukan serangan itu.
Pihaknya juga mempercayai kejadian malang ini mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI).
Berikut adalah kronologi kejadian:
2.30 pagi – Dua pelajar IPT swasta, lelaki dan perempuan hadir ke balai untuk membuat laporan polis mengenai kes cabul yang dikatakan berlaku dua tahun lalu.
2.35 pagi – Ketika dua pelajar berkenaan sedang membuat laporan polis, suspek masuk ke kawasan balai menaiki motosikal dan terus ke bahagian belakang balai.
2.35 pagi – Seorang anggota polis, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar melalukan pemeriksaan di bahagian belakang balai dan kemudian diserang dan ditetak sehingga mati oleh suspek.
– Suspek kemudian merampas senjata api anggota berkenaan.
– Dua anggota polis lain bergegas ke belakang balai untuk memeriksa keadaan dan kemudian berlaku insiden tembak-menembak dengan suspek.
2.54 pagi – Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said maut terkena tembakan pada bahagian pipi sehingga menembusi kepala. Seorang lagi anggota berjaya menembak mati suspek. – KOSMO! ONLINE