fbpx

Penganggur didakwa edar 9.2kg heroin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh berhadapan hukuman mati setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 9.2 kilogram (kg), Isnin lalu. FOTO MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

IPOH – Seorang penganggur berhadapan hukuman mati setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 9.2 kilogram (kg), Isnin lalu.

Tertuduh, A. Nathan, 48, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 9,200 gram di kawasan sekitar bangunan pasar raya di Station 18, Medan Stesen 19/9, Taman Pengkalan Jaya di Ipoh pada pukul 1.15 petang, 13 Mei 2024.

Pertuduhan ke atas lelaki itu dijalankan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 5 Ogos depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI