MELAKA – Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkan kekasihnya, tiga tahun lalu.
Hakim Mohd. Radzi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ahmad Shamil Ashraf Zainudin, 22, yang membuat pengakuan bagi pertuduhan pilihan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didapati telah melakukan satu homosid mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh ke atas seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan seorang wanita berusia 18 tahun sewaktu kejadian.
Kesalahan itu dilakukan di kawasan semak tepi jalan berhampiran sebuah pusat asuhan dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 12.01 pagi hingga 10.30 malam 29 Mac 2021.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan bolehlah juga dikenakan denda mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang merupakan seorang pegawai perubatan di Hospital Melaka telah menerima kes kecemasan seorang wanita iaitu kekasih tertuduh mengalami pendarahan kerana bersalin.
Apabila ditanya mengenai keberadaan bayinya, wanita berkenaan memaklumkan bayinya hidup sewaktu dilahirkan kerana terdengar tangisan, namun tidak mengetahui keadaanya kerana telah dibuang oleh teman lelakinya di kawasan semak samun di Telok Mas.
Hasil bedah siasat mendapati, bayi berkenaan telah mencapai umur matang 41.6 minggu tidak mempunyai kecederaan akibat luka tajam atau akibat benda tumpul atau kecederaan lain.
Doktor pakar berpendapat, tindakan membuang bayi itu di kawasan yang tidak sepatutnya menyebabkan kebarangkalian paru-parunya merosot dan membawa kepada kematian akibat ‘congenital pneumonia’.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd.Nabilalif Mohd. Rosli memohon hukuman setimpal diberikan kerana perbuatan meletakkan bayi berkenaan di kawasan semak adalah bertujuan bagi mengelak ia dikesan orang ramai.
Peguam tertuduh, M. Vinodharan bagaimanapun memohon hukuman penjara yang rendah diberikan kerana ia merupakan kesalahan pertama anak guamnya, selain pemuda itu telah insaf.
Ujarnya lagi, ketika kejadian tertuduh hanya berusia 19 tahun dan tidak berfikir panjang untuk menutupi kesalahannya itu.
Tertuduh juga tidak melakukan apa-apa kekerasan terhadap bayi berkenaan sehingga menyebabkan kematian.
Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Mohd. Radzi kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dari tarikh ditangkap pada 29 Mac 2021.
“Perbuatan dalam kes ini sangat tragis, dalam hidup ini kita sentiasa berdepan situasi untuk membuat pilihan tepat menggunakan akal dikurniakan Tuhan.
“Mahkamah berpendapat, hukuman penjara lapan tahun dari tarikh ditangkap adalah setimpal,” katanya. – KOSMO! ONLINE