GEORGE TOWN – Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) mengambil pendekatan mendedahkan cara untuk mengenal pasti teknik penipuan kewangan bagi mengelak orang ramai menjadi mangsa.
Pengarahnya, Noreen Zulkepli berkata, pendidikan mengenai kewangan itu akan disampaikan pada sambutan Hari Muzium Antarabangsa (HMA) 2024 di Dewan Sri Pinang di sini sehingga 22 Mei ini.
Menurutnya, pihaknya teruja untuk berkongsi ilmu tentang perihal kewangan kepada pengunjung di reruai pameran yang terletak di pekarangan lokasi penganjuran.
“Reruai ini menyingkap dunia kewangan menarik iaitu pemahaman tentang wang dan kewangan yang mampu memberi impak dalam hidup.
“Kehadiran kami adalah untuk mendidik tentang bagaimana penguasaan pengurusan kewangan boleh mengubah kehidupan anda menjadi lebih baik.
“Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyelami sejarah monetari Pulau Pinang, merungkai fakta yang menarik dan belajar cara mengenal pasti serta mengelakkan penipuan kewangan,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada, beliau memberitahu, pengunjung juga akan memperoleh pemahaman asas berkenaan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sepanjang program tersebut berlangsung. – KOSMO! ONLINE