PETALING JAYA – Jenama Milo telah mencatat rekod kejayaan terbaharunya selepas menerima pengiktirafan Logo Pilihan Lebih Sihat (HCL) bagi mencerminkan komitmen syarikat untuk memenuhi keperluan pemakanan rakyat di negara ini.
Ia dilaksanakan menerusi inovasi dan penambahbaikan produk yang memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu agar ia dapat memberi manfaat khasiat kebaikan Milo kepada pelanggan.
Pegawai Eksekutif Perniagaan Milo, Nestle (M) Berhad, Ng Su Yen berkata, sebagai jenama yang telah berkembang maju selama lebih 70 tahun dan dikilang sepenuhnya di Malaysia, pihaknya memahami betapa pentingnya kesihatan dan pemakanan yang baik untuk dimanfaatkan masyarakat terutamanya dalam kesibukan dunia hari ini.
“Kami bertekad untuk membekalkan tenaga kepada rakyat dari segenap lapisan hidup dengan menawarkan pilihan yang bermutu tinggi, mampu milik dan lebih sihat.
“Pengiktirafan logo Pilihan Lebih Sihat sesungguhnya membuktikan usaha berterusan kami untuk memenuhi piawaian pemakanan yang sentiasa berubah demi menggalakkan gaya hidup lebih sihat, sambil mengekalkan rasa Milo yang menambat hati dan selera mereka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Logo Pilihan Lebih Sihat adalah inisiatif daripada Kementerian Kesihatan untuk menggalakkan rakyat membuat pilihan makanan yang lebih sihat.
Langkah Milo mendapatkan logo Pilihan Lebih Sihat itu juga menunjukkan komitmen jenama untuk menyediakan pemakanan berkhasiat, memastikan pengguna boleh menikmati kebaikan semula jadi barli malt, susu dan koko, vitamin dan juga mineral dalam setiap gelas minuman.
“Dengan memenuhi kriteria nutrien yang ketat seperti kandungan gula, garam dan lemak yang dikurangkan dan juga kandungan serat yang lebih tinggi, Milo mengukuhkan kedudukannya sebagai minuman bertenaga dan berkhasiat yang memperkasakan rakyat untuk mengamalkan gaya hidup cergas dan sihat.
“Kami menggalakkan rakyat untuk membuat keputusan bijak demi kesihatan mereka dan memulakan hari dengan sihat menerusi tenaga yang dibekalkan Milo.
“Misi kami adalah untuk membekalkan khasiat pemakanan kepada pengguna menerusi kebaikan Milo bukan sahaja tenaga positif untuk memberikan prestasi terbaik, tetapi juga kecergasan fizikal,” terangnya. -KOSMO! ONLINE