fbpx

Lily Haslina penulis prolifik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LILY HASLINA telah menulis lebih 100 naskhah buku.

KONSISTEN merupakan aksara paling tepat untuk menggambarkan sisi penulis Lily Haslina Nasir yang telah berkecimpung dalam dunia penulisan seawal usia 13 tahun.

Meskipun sudah 40 tahun berlalu, namun nama Lily Haslina masih antara yang berada di carta teratas penulis prolifik di negara ini. Lazimnya, gandingan minat, bakat, kemahiran dan kerajinan adalah kunci utama untuk konsisten dalam industri buku negara.

“Peluang, salah satu ciri yang mesti dimasukkan dalam senarai di atas dan jangan sesekali terlepas kerana peluang tidak datang berkali-kali,” ujarnya saat memulakan bicara bersama Aura.

Diaju mengenai persoalan sama ada dia menulis sekadar berkongsi cerita di dalam novel untuk kepuasan diri sendiri, mengumpul peminat atau menambah sumber pendapatan peribadi, Lily Haslina ada jawapan tersendiri.

Menurutnya, dia mengakui karier sebagai penulis boleh menjana pendapatan bersandarkan pengalaman sepanjang 40 tahun.

Diawali dengan cetusan minat, kini dia berada pada fasa menikmati hasil penat lelah yang dilaburkan selama ini.

“Sebab itu saya tekankan peluang kerana apabila seorang gadis kecil (dirinya) mahu menulis dan tampak serius, terluah kata-kata keluarga yang seakan-akan menusuk ke kalbu tanda protes.

“Kamu mahu jadi apa dengan menulis? Itu soalan yang awal-awal diajukan. Untungnya ketika itu, saya suka melawan kerana mahu merebut peluang.

“Dibuktikan pula dengan kesungguhan sehingga menjadikan halangan itu tidak lama. Ini kerana, catatan keputusan peperiksaan utama berjaya meyakinkan keluarga.

“Mereka juga tidak membantah apabila saya memilih ke Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya daripada mendalami ilmu undang-undang,” katanya lagi.

Dia juga tidak menafikan kerjaya menulis tidak dilihat sebagai karier yang dijulang tinggi di negara ini.

LILY HASLINA (duduk, tengah) merupakan penulis novel Pulang yang diadaptasi daripada filem Pulang.

Ia terkait dengan beberapa isu seperti upah menulis lambat terima, jumlah bayaran tidak konsisten dan pendapatan tak semewah mereka yang makan gaji.

“Benar anggapan tersebut, namun apa juga pekerjaan jika fokus, komited, yakin dan percaya diri akan terbuka luas rezeki yang menanti.

“Pelbagai tawaran akan diterima, malah ramai dalam kalangan rakan saya hidup selesa dengan ‘makan gaji’ sebagai penulis.

“Lebih-lebih lagi jika nama sudah dipahat, karya sentiasa ditunggu-tunggu peminat dan mendapat tawaran daripada penerbitan,” tuturnya.

Meneruskan perkongsian, anak kelahiran Melaka berusia 53 tahun itu mula menulis sejak di bangku sekolah menengah hingga ke peringkat universiti.

Dia kemudian berkhidmat sebagai wartawan di majalah Jelita terbitan Berita Publishing Kuala Lumpur.

Katanya, meskipun pernah menjadi wartawan kanan rencana dengan pelbagai isu dan tajuk, namun menulis novel tetap menjadi keutamaan serta diteruskan sehingga hari ini.

Dia pernah membuat keputusan untuk berhenti kerja dan memilih duduk di rumah mengasuh serta mengajar lima orang anak.

Pada masa sama, dia meneruskan kerja-kerja menulis sampailah karyanya dikenali.

“Sebagai penulis, kepekaan kita kepada persekitaran sangat penting. Misalnya, sekitar tahun 2009 hingga 2011, rumah penerbitan berebut-rebut menerbitkan buku kisah remaja.

“Saya sempat menghasilkan 17 tajuk yang relevan. Antaranya, Akukah Snow White Itu?, Akukah Puteri Itu, Aku, Dia dan Coklat, Aku & Drama Queen, Gaun Pengantin dan banyak lagi.

“Untuk kekal relevan, karya yang ditulis sebaik-baiknya menyentuh jiwa pembaca. Misal, Epilog Cinta yang awalnya diterbitkan pada 2006. Selepas 17 tahun, ia masih diterima pembaca,” katanya.

Selepas beberapa tahun, namanya melonjak apabila dia menulis novel adaptasi daripada filem Pulang lakonan Remy Ishak dan Puteri Aishah.

Hasilnya, naskhah Pulang terpilih sebagai antara karya terbaik Malaysia apabila berpeluang untuk dipamerkan di Pesta Buku Frankfurt, Jerman.

Dalam usaha meneruskan legasi, dia sentiasa meletakkan anak-anak muda yang datang berguru dengannya sebagai kelompok sangat istimewa.

Lily Haslina juga mewujudkan beberapa sesi bengkel penulisan sama ada secara maya atau bersemuka untuk semua peringkat usia.

“Menulis bukan perkara mudah, bukan boleh dibina kemahiran itu sekelip mata. Tidak juga dengan sekadar setahun dua berguru.

“Menulis memerlukan komitmen, disiplin dan kesungguhan. Mengharungi dunia yang serba-serbi pantas ini, kelompok yang mencintai penulisan perlu diberi sokongan,” katanya yang telah menulis lebih 100 naskhah novel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI