TANJUNG MALIM – Seorang pemandu lori maut dalam nahas libatkan tiga buah lori di KM 367.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan di Sungkai menghala ke Slim River pada pukul 5.45 pagi tadi.
Kemalangan maut ini menyebabkan aliran trafik terhenti kira-kira 13 kilometer (km) dari Sungkai ke Slim River awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, polis menerima maklumat berhubung nahas itu kira-kira jam 5.45 pagi tadi.
“Kemalangan berlaku apabila seorang pemandu lori 10 tan memandu dari Bukit Kayu Hitam ke Selayang membawa muatan buah. Sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar kiri lori yang dipandunya pecah menyebabkan kenderaan itu terlanggar sebuah lagi lori lima tan di lorong kiri.
“Kemudian kedua-dua lori hilang kawalan dan terbabas menyebabkan lori 10 tan melintang di atas jalan menutup semua lorong sementara lori lima tan itu termasuk ke bahu jalan,” katanya di sini hari ini.
Katanya lagi, pada masa yang sama, mangsa yang merupakan pemandu lori tiga tan tidak sempat mengelak lalu terlanggar lori 10 tan yang melintang di tengah jalan.
“Nahas ini menyebabkan pemandu lori tiga tan tersepit dan mengalami kecederaan di bahagian kaki sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk proses bedah siasat,” katanya. – KOSMO! ONLINE