JOHOR BAHRU – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain meluangkan masa melawat anggota polis yang cedera dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi hari ini.
Dalam satu perkongsian video di laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), Razarudin dilihat berbual-bual bersama Koperal Mohd Hasif Roslan ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ibrahim (HSI), di sini.
Mohd Hasif yang juga Anggota Cegah Jenayah di Balai Polis Ulu Tiram cedera akibat ditembak dalam insiden kira-kira 2 pagi itu kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
Beliau turut meluangkan masa kira-kira lima minit untuk menyantuni anggota terbabit beserta ahli keluarganya.
Razarudin kemudian berkunjung ke Jabatan Perubatan Forensik HSI bagi melihat proses bedah siasat yang dijalankan melibatkan dua anggota polis yang maut dalam serangan itu.-KOSMO! ONLINE.