fbpx

Era Lawrence Wong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WONG mengangat sumpah di Istana malam kelmarin. - AFP

SINGAPURA – Perdana Menteri Singapura yang baharu, Lawrence Wong enggan dirinya dibandingkan dengan pemimpin terdahulu dan mahu dinilai berdasarkan kata-katanya sendiri, demikian menurut beberapa penganalisis politik seperti laporan saluran berita Channel NewsAsia semalam.

Pemimpin berusia 51 tahun itu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura keempat malam kelmarin, menandakan penyerahan ketiga kepimpinan Singapura sejak 59 tahun yang lalu.

“Dilentur oleh pengalaman ini, gaya kepimpinan kami akan berbeza daripada generasi pemimpin terdahulu.

“Kami akan memimpin dengan cara kami sendiri. Kami akan terus berfikir secara berani dan berfikiran jauh. Kami tahu masih banyak yang perlu dilakukan dan lembaran terbaik kisah Singapura di bawah kepimpinan kami menanti di hadapan,” kata Wong selepas mengangkat sumpah di hadapan Ketua Hakim

Singapura, Sundaresh Menon.

Penganalisis politik bebas, Dr. Felix Tan berkata, Wong ingin memberitahu rakyat Singapura bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri yang berbeza.

“Mendengar ucapannya dan bagaimana beliau mahu memajukan Singapura, nampaknya beliau mahu memberi lebih tum­puan kepada hati rakyat Singapura lebih daripada segala-galanya,” kata Tan.

Menurutnya, tiga Perdana Menteri sebelum ini lebih me­numpukan kepada perkara pragmatik atau praktikal seperti ekonomi.

Perdana Menteri baharu itu mungkin berharap rakyat Singapura akan mengukur prestasi­nya berdasarkan apa yang beliau katakan akan lakukan dan tidak membandingkan beliau dengan generasi pemimpin sebelumnya, kata penganalisis itu.

“Wong mahu kami memberi­ peluang kepadanya bahawa apa yang beliau katakan akan dikotakan,” ujar Tan.

Wong mengangkat sumpah jawatan di halaman Istana malam kelmarin bersama seluruh Kabinetnya termasuk Timbalan Perdana Menteri yang baharu, Gan Kim Yong merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura.

Bekas Perdana Menteri, Lee Hsien Loong turut mengangkat sumpah sebagai Menteri Senior dalam majlis itu.

Menurut Tan, Wong mengambil alih ‘landskap Singapura yang sangat berbeza’ berbanding tiga Perdana Menteri sebelumnya.

Rakyat Singapura kini lebih kaya, berpendidikan, peka kepada globalisasi dan terdedah kepada lebih banyak peluang.

“Justeru, jangkaan mereka kepada kerajaan adalah jauh berbeza daripada Perdana Menteri sebelum ini. Tumpuan rakyat kini lebih kepada apa lagi yang boleh kerajaan berikan kepada mereka? Apa lagi yang kerajaan boleh buat yang mereka sendiri tidak mampu lakukan?”

Saintis politik dan profesor bersekutu di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr. Chong Ja Ian berkata, Perdana Menteri sebelum ini, Goh Chok Tong dan Hsien Loong juga cuba membezakan diri daripada pendahulu mereka.

“Gaya kepimpinan adalah satu perkara, tetapi perlu ada kejujuran dan kebijaksanaan untuk menunjukkan gaya,” katanya.

Felo penyelidik di Institut Kajian Dasar (IPS), Dr. Teo Kay Key pula berkata, ucapan Wong me­rujuk kepada warga Singapura yang lebih muda dan mempunyai idea berbeza tentang kejayaan dan apa yang mereka ingin capai dalam kehidupan ini.

Apabila beliau bercakap tentang bagaimana pasukannya akan melakukan perkara secara berbeza, Wong mungkin menujukan ucapan beliau kepada kumpulan ini, katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI