fbpx

Boikot dengan ilmu, jangan terlalu ikut perasaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Tindakan memboikot demi membela nasib rakyat Palestin merupakan satu bentuk jihad, namun ia perlu dilaksanakan dengan ilmu, adab dan akhlak yang betul dan bukannya berkiblatkan nafsu dan kebencian semata-mata.

Menurut pempengaruh media sosial @Muzuzxck di aplikasi X, tindakan memboikot merupakan satu amalan yang sangat dituntut demi membantu dan membangunkan semangat saudara seagama di Palestin.

Bagaimanapun, boikot perlulah dilaksanakan dengan ilmu dan bukannya berlandaskan semangat semata-mata.

Beliau berkata, hukum asal memboikot adalah fardu kifayah yang bermaksud ia dituntut kepada semua namun kewajipannya gugur sekiranya ada sebahagian daripada masyarakat yang melaksanakannya.

“Namun begitu, tidak kita nafikan sama sekali bahawa boikot tetap sangat dianjurkan dan dituntut untuk membela nasib saudara kita dan menekan pihak musuh.

“Bukankah lebih baik jika kita yang berkemampuan menahan sedikit dari kemahuan kita untuk membantu saudara kita di Palestin,” jelasnya.

Menurut @Muzuzxck, terdapat juga kekeliruan ketika memboikot produk-produk makanan sehingga ada yang menganggap makanan dari syarikat yang diboikot adalah haram.

“Ini tidak tepat sama sekali. Maka, perlu dibezakan antara perbuatan boikot dan mengharamkan makanan itu sendiri.

“Sekali lagi, walaupun tidak haram memakannya, ini bukan bermaksud boikot itu tidak perlu. Boikot masih perlu kita sama-sama untuk sokong,” katanya.

Dalam pada itu, @Muzuzxck juga beranggapan kempen ‘Blackout 2024’ yang memboikot para selebriti atau pempengaruh yang tidak menunjukkan sokongan terhadap perjuangan Palestin sebagai satu perkara yang positif.

“Kempen ini sebenarnya ada nilai teguran tegas kerana kealpaan sebahagian selebriti yang seolah menganggap tiada apa berlaku atau tidak tahu apa yang berlaku di Palestin sehingga keliru antara konflik, perang dan penghapusan etnik.

“Ini adalah penghapusan dan pembantaian beramai-ramai, bukanlah sebuah peperangan kerana satu pihak berkuasa penuh manakala satu pihak lagi dibantai sehabisnya,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar orang ramai tidak terlalu ekstrem dalam memboikot sehingga sanggup mencaci-maki atau melabel orang lain sebagai kafir.

“Ini sudah melampaui batas. Dosa yang dimaksudkan adalah mengkafirkan dan mencaci maki saudara seagama sendiri. Walhal kedua-dua perkara ini dilarang secara jelas dalam al-Quran.

“Maka jangan tertipu dengan jarum halus Iblis yang menyebabkan kita masuk ke lorong dosa yang lain dengan anggapan ‘oh ini untuk perjuangan’, walhal kita sedang tertipu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI