KUALA LUMPUR – Bayi perempuan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam di tempat letak kenderaan Pangsapuri Putra Ria, Pantai Dalam, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, laporan dibuat pengurus pangsapuri pada pukul 9.33 pagi tadi.
“Ketika dijumpai di tempat parkir, bayi yang masih bertali pusat itu didapati mempunyai luka di pipi kiri.
“Fizikal bayi lengkap dan dipercayai bayi berkenaan adalah milik warga asing.
“Lebih kurang 10.25 pagi, ambulans dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sampai lokasi dan mengesahkan kematian bayi malang itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, mayat bayi perempuan itu telah dibawa ke PPUM bagi tujuan bedah siasat
“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan manakala hasil bedah siasat dijangka esok,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.