PETALING JAYA – Kejadian serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi tadi mengorbankan dua anggota polis, manakala seorang lagi mengalami kecederaan selepas diceroboh lelaki bertopeng.
Dalam kejadian itu, seorang penyerang yang berusia 21 tahun mati ditembak di lokasi kejadian.
Berikut antara perkara yang perlu diketahui berhubung kejadian itu:
– Kejadian berlaku pada pukul 2.30 pagi bertempat di Balai Polis Ulu Tiram
– Melibatkan tiga anggota polis, dua maut di lokasi kejadian akibat ditembak dan ditetak oleh suspek. Seorang lagi cedera
– Suspek iaitu penyerang berjaya ditembak mati di lokasi kejadian
– Anggota polis maut ialah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar yang bertugas di pejabat pertanyaan dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang merupakan anggota prowler.
– Anggota cedera, Koperal Mohd. Hasif Roslan bertugas di Unit Rondaan Cegah Jenayah.
– Suspek lelaki berusia 21 tahun yang ditembak mati menceroboh balai polis dengan memakai topeng.
– Sebelum kejadian, dua pelajar IPT swasta hadir ke balai polis sama untuk membuat laporan mengenai kes cabul yang sudah berlaku dua tahun lalu.
– Suspek yang menaiki motosikal masuk dan pergi ke bahagian belakang balai tersebut
– Anggota polis yang menyedari kejadian itu pergi ke belakang balai sebelum ditetak suspek di leher sebanyak tiga kali sehingga mati
– Suspek kemudian merampas senjata api anggota tersebut
– Dua anggota polis lain pergi ke belakang balai untuk membuat pemeriksaan sebelum berlaku tembak menembak pada pukul 2.54 pagi
– Seorang anggota polis maut terkena tembakan pada pipi yang menembusi bahagian kepala. Seorang lagi anggota berjaya menembak mati suspek
– Polis menahan tujuh individu termasuk ahli keluarga suspek dan dua pelajar IPT terbabit.
– Kesemua yang ditahan berusia 19 tahun hingga 62 tahun.
– Lokasi rumah keluarga suspek terletak kira-kira 7 kilometer dari Balai Polis Ulu Tiram.
– Dua anggota maut akan dikebumikan di Bidor, Perak dan Gambang, Kuantan, selepas bedah siasat selesai.
– Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
– Polis percaya kejadian serangan itu mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI).
– Motif serangan dipercayai untuk merampas senjata api.
– PDRM mengarahkan pasukan risikannya mengenal pasti 20 ahli kumpulan ekstremis JI yang berada di Johor.
– Ketua Polis Negara arah perketat kawalan di balai polis seluruh negara termasuk istana. -KOSMO! ONLINE.