fbpx

Anak sakit jantung masih boleh berlari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak yang menghidap sakit jantung kongenital masih boleh berlari, namun perlu mendapatkan nasihat atau pengesahan doktor. - Gambar hiasan

UMUM mengetahui masalah jantung tidak mengenal usia. Masalah itu bukan hanya menyerang mereka yang sudah dewasa.

Malah, ada yang berhadapan dengan masalah itu sejak lahir lagi dan didiagnosis mempunyai penyakit jantung kongenital.

Ketua Jabatan dan Pakar Kardiologi Pediatrik, Pusat Jantung Kanak-Kanak dan Kongenital, Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Marhisham Che Mood berkata, penyakit jantung kongenital adalah masalah yang berlaku sejak lahir lagi.

Menurutnya, masalah ini bermula sewaktu pembentukan jantung ketika janin lagi.

Katanya, penyakit jantung kongenital mempunyai beberapa jenis daripada yang mudah sehingga kompleks.

“Bagi yang mudah, ia seperti jantung berlubang. Ada pesakit yang berhadapan dengan masalah ini tidak memerlukan pembedahan atau rawatan, namun mereka masih boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

“Namun, ada juga pesakit jantung yang lebih kompleks yang kadang-kadang memerlukan banyak kali pembedahan. Kumpulan pesakit ini biasanya diketepikan untuk melakukan sebarang aktiviti,” katanya.

PENYAKIT jantung kongenital boleh dikesan sejak lahir. – Gambar hiasan

Tambahnya, bagi pesakit yang telah mendapat rawatan dan sudah pulih selepas menjalani pembedahan, mereka boleh menjalani kehidupan dengan melakukan aktiviti harian seperti orang lain.

Dalam pada itu, meskipun penyakit jantung kongenital berlaku sejak lahir lagi, namun kadangkala masalah ini tidak dapat dikesan pada peringkat awal.

Ada pesakit yang dikesan ketika mereka sudah dewasa, tetapi ia masih merupakan penyakit jantung kongenital cuma dikesan lebih lambat.

Mengulas tentang punca kepada masalah itu, Dr. Marhisham menjelaskan, majoriti 90 hingga 95 peratus punca tidak diketahui dan ia bermula daripada pembentukan jantung ketika janin.

“Namun, lima hingga 10 peratus yang dapat kita kenal pasti adalah ibu yang mempunyai penyakit kencing manis semasa mengandung, ibu merokok dan minum alkohol.

“Jadi, anak-anak yang dikandung berisiko mendapat masalah jantung kongenital,” jelasnya.

DR. MARHISHAM (kiri) menunjukkan poster program larian untuk pesakit jantung kongenital.

Tambahnya, kumpulan besar yang berhadapan dengan masalah ini adalah mereka yang mempunyai genetik sindrom Down.

Katanya, 50 peratus kanak-kanak sindrom Down berhadapan dengan masalah jantung kongenital.

Biarpun ada pesakit yang berhadapan dengan penyakit jantung kongenital, namun mereka tidak boleh dipinggirkan daripada melakukan sebarang aktiviti riadah.

Oleh yang demikian, IJN akan mengadakan program larian, Run for Your Heart 2024 yang bertemakan ‘Heartful Strides, Colourful Vibes’ pada 13 Julai ini di Anjung Floria, Putrajaya.

Larian itu dianjurkan bagi meraikan pesakit jantung kongenital dan meningkatkan kesedaran tentang penyakit tersebut serta kepentingan sokongan dan advokasi dalam komuniti.

Orang ramai yang ingin menyertai larian tersebut boleh memilih dua kategori iaitu jarak 5 kilometer (km) dan 7 km.

Manakala, bagi pesakit jantung kongenital, mereka boleh memilih untuk menyertai kategori larian sejauh 2 km.

Dr. Marhisham berkata, program larian itu merupakan platform terbaik untuk mereka menunjukkan bahawa pesakit jantung kongenital boleh melakukan aktiviti riadah seperti orang biasa mengikut nasihat doktor.

“Tidak semua pesakit boleh melakukan aktiviti ini, tetapi masih ada segerombolan pesakit masih mampu melakukan aktiviti ini seperti orang biasa.

“Mereka juga boleh menjalani kehidupan seperti orang kebanyakan dan mampu untuk beribadah termasuk golongan kanak-kanak yang berhadapan dengan masalah ini,” terangnya.

Sementara itu, Dr. Marhisham menitipkan pesan kepada pesakit jantung kongenital yang ingin menyertai larian itu supaya mendapatkan pengesahan doktor terlebih dahulu.

Pengesahan doktor boleh dilakukan di Klinik IJN serta klinik-klinik rawatan jantung kongenital yang juga rakan kepada Persatuan Jantung Pediatrik Malaysia (MPCS).

“Pengesahan doktor ini penting kerana ada kategori pesakit mempunyai kegagalan jantung yang mengehadkan pergerakan mereka melakukan aktiviti larian.

“Ada juga kategori pesakit yang boleh melakukan aktiviti ini dan pengesahan doktor adalah penting,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Korporat IJN, Aina Jami berkata, bagi kategori larian sejauh 2 km, ia didedikasikan kepada pesakit kanak-kanak yang mempunyai masalah jantung kongenital.

“Kita juga mahu tunjukkan kepada orang ramai bahawa pesakit jantung kongenital ini selepas menerima rawatan boleh membesar seperti kanak-kanak lain.

“Orang ramai pula boleh menyertai kategori larian untuk 5 km dan 7 km bagi bersama-sama meraikan kanak-kanak yang mempunyai masalah ini,” katanya.

Tambah Aina, pelbagai pengisian menarik lain akan dianjurkan pada program tersebut termasuk ujian saringan kesihatan asas dan lain-lain lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI