SHAH ALAM – Bintang sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim boleh menarik nafas lega apabila anak lelakinya, Khalish Aryan diberi kebebasan untuk datang melawat setiap hari di hospital.
Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar mengesahkan keputusan tersebut dicapai melibatkan Faisal dan pakar perubatan yang merawat tonggak Selangor FC ketika ini.
Menurut Shahril, pemain yang mesra dengan gelaran Mickey cukup rapat dengan anak kandungnya itu dan kehadiran Khalish boleh memberikan keceriaan sepanjang menjalani proses pemulihan nanti.
“Doktor dah bagi kebenaran untuk anak dia (Khalish) datang setiap hari. Ini adalah keputusan Mickey dan juga doktor. Dia dengan anak dia rapat.
“Namun, buat masa ini tak boleh terlalu dekat, sebab keadaan masih lagi sensitif (luka akibat asid) tapi moral Mickey semakin baik.
“Sebab bila dah keluar dari ICU (Unit Rawatan Rapi) keadaan (proses rawatan) kurang tekanan, Mickey boleh melihat tingkap dan sebagainya, selain menonton televisyen,” katanya.
Sebagai rekod, Faisal ditukarkan ke wad biasa apabila menunjukkan pemulihan positif selepas menjalani tiga pembedahan selepas menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu.
Difahamkan, pemain berusia 26 tahun kelahiran Mengkuang Titi itu bakal menjalani pembedahan terakhir pada minggu depan. – KOSMO! ONLINE