PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga anggota polis yang maut ditembak dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, awal pagi tadi.
Menerusi hantaran di akaun Instagram rasmi, Baginda menzahirkan rasa sedih terhadap pemergian Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said.
“Al-Fatihah buat dua wira negara yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Seri Paduka Baginda.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua anggota polis maut, manakala seorang lagi parah selepas ditembak dan ditetak seorang lelaki yang bertindak menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram di sini, awal pagi tadi.
Lelaki yang menyerang balai tersebut turut mati ditembak dalam kejadian berdarah tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek berusia 34 tahun itu dipercayai anggota Jemaah Islamiah. – KOSMO! ONLINE