PETALING JAYA – Kira-kira sembilan daripada 10 orang meliputi 87.2 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah tidur, termasuk insomnia, bangun kerap atau sukar untuk tidur.
Data tersebut diperolehi daripada tinjauan yang dijalankan di seluruh negara melibatkan 212 responden oleh syarikat pemimpin tidur Malaysia, Sonno, pada Januari tahun ini.
Ujarnya, kesukaran untuk tidur dikenal pasti sebagai masalah yang biasa, melibatkan 39.9 peratus responden manakala masalah lain dipengaruhi oleh faktor bangun kerap (37.9 peratus) dan berdengkur (28.9 peratus).
“Sebahagian besar daripada responden iaitu 45.5 peratus melaporkan mereka tidur antara tujuh hingga sembilan jam sehari, selari dengan cadangan tidur global.
“Bagaimanapun, 52.1 peratus pula menikmati tidur yang lebih pendek antara empat hingga enam jam sekali gus menyaksikan kurang tidur.
“Selain itu, masalah tidur antara wanita dan lelaki adalah sama rata, masing-masing 86.4 dan 87.7 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi dapatan itu, individu berusia dalam lingkungan 25 hingga 44 tahun menikmati kualiti tidur lebih rendah pada waktu malam berbanding dengan mereka yang berusia antara 45 hingga 64 tahun.
Sementara itu, sebanyak 76.3 peratus peserta bersetuju bahawa tidur yang mencukupi dan berkualiti menyumbang kepada kualiti hidup, produktiviti, dan kesihatan mental yang lebih baik.
“Sejumlah besar 84.6 peratus responden menyatakan menggunakan skrin sebelum tidur setiap malam atau kebanyakan malam.
“Pada masa yang sama, majoriti 61 peratus responden mengakui bahawa penggunaan skrin sebelum tidur mempengaruhi kualiti tidur,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sonno, Fabio Miceli, kualiti tidur jelas mempengaruhi fungsi harian dan kesejahteraan mental seseorang individu.
Justeru, pihaknya bercadang untuk menggunakan data ini untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan dan organisasi untuk penyelesaian yang lebih berkesan. – KOSMO! ONLINE