KUANTAN – Kerajaan memberi jaminan tiada lagi pelajar yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan liputan internet dalam proses pembelajaran mereka mulai akhir tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sudah pun memaklumkan kepada Menteri Digital, Gobind Singh Deo supaya segera menyelesaikan perkara tersebut.
“Kita telah ada liputan 5G, sesebuah negara yang besar mereka telah ada 5.5G, maka dalam hal ini kita akan terus memberikan liputan (internet) bagi kawasan yang berpendudukan rendah agar dapat diberikan capaian terutama di kawasan Felda, desa, Orang Asli dan kawasan pendalaman.
“Wajib diberikan liputan secukupnya untuk murid-murid dan pelajar. Ini azam saya,”katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-53 Tahun 2024 bertemakan Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, selain Menteri Digital, perbincangan juga akan turut dilakukan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memberikan tumpuan capaian 5G di kawasan berpendudukan rendah termasuk di Felda, kampung tradisional dan pendalaman.
“Sekarang ini cakupan (internet) kawasan penduduk tinggi 87.5 peratus dan saya yakin akhir tahun ini kawasan berpendudukan tinggi capai hampir 99 peratus.
“Lepas ini fasa kedua ialah kawasan berpendudukan rendah supaya sekolah-sekolah di kampung Orang Asli yang saya sebut tadi kawasan kampung tradisional, Felda dan pendalaman akan dapat dicakupi dengan liputan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, guru adalah tonggak utama pendidikan negara dan dalam usaha mendidik serta mengajar menyebabkan mereka tidak dapat lari daripada menghadapi pelbagai cabaran yang kompleks.
“Antara cabaran yang sering dibicarakan adalah tentang beban tugas guru yang semakin bertambah, tekanan kerja, kekurangan alat bantu mengajar yang menyukarkan pengajaran dan pembelajaran, isu disiplin pelajar, perubahan kurikulum, kurangnya akses kepada peluang pembangunan kerjaya serta lain-lain cabaran.
“Saya amat memahami cabaran-cabaran ini dan berkeyakinan kerajaan Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Perdana Menteri dan dibantu rakan-rakan di Kementerian Pendidikan pastinya terus komited mencari solusi tuntas bagi setiap permasalahan ini.
“Tambahan pula, dengan peruntukan sekitar RM58.7 bilion untuk sektor pendidikan di dalam Bajet 2024 pastinya dapat kita manfaatkan untuk memperkenalkan sistem pengurusan sekolah digital yang lebih berkesan, memperuntukkan dana tambahan bagi penambahbaikan infrastruktur sekolah, menyediakan peralatan pembelajaran yang mencukupi serta pelbagai inisiatif lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE