PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah agensi badan berkanun kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana Kementerian Kewangan bernilai RM 1.2 bilion.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 60-an ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini dan perintah reman selama dua hari bermula hari ini telah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2019 hingga 2021 dan menyalahgunakan dana peruntukan pinjaman dengan memindahkan sebahagian pinjaman wang yang diterima dari Kementerian Kewangan.
“Ia dipindahkan kepada syarikat kontraktor serta perunding yang tidak berkaitan dalam kos pembangunan seperti yang dinyatakan dalam permohonan peruntukan pinjaman kerajaan,” katanya hari ini.
Semalam SPRM menahan reman dua orang pegawai kanan sebuah agensi badan berkanun bagi kesalahan yang sama.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE