fbpx

‘Sampai ada selebriti terpaksa tunjuk resit, risau jatuh riak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wani berasa kesal dengan tindakan segelintir netizen yang sesuka hati melontarkan caci maki terhadap selebriti tempatan yang disenaraikan dalam gerakan Blockout 2024.

PUTRAJAYA – Penyanyi Wani Kayrie meluahkan rasa kesal dengan tindakan segelintir netizen yang sesuka hati melontarkan caci maki terhadap selebriti tempatan yang disenaraikan dalam gerakan Blockout 2024.

Kata Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 24, kecaman membabi buta menyebabkan ada dalam kalangan selebriti terpaksa mengeluarkan bukti melakukan kebaikan sehingga risau boleh jatuh riak.

“Pandangan saya tindakan kutuk-mengutuk memang tidak baik. Apa yang kita cakap akan mencerminkan diri kita.

“Tak bermaksud tidak buat hantaran, mereka tidak mendoakan. Sampai ada selebriti sanggup keluarkan resit buat sumbangan. Risau boleh jatuh riak.

“Tidak baik apabila sesama Islam kita melagakan. Blockout bagi pandangan saya adalah trend luar tetapi orang kita terlampau mengikut trend sampai sanggup memaki hamun dan jatuh hukum sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online semasa majlis sidang media Program Innovathon musim kedua semalam.

Kongsinya lagi, perbuatan mengherdik dan menghina walaupun seseorang selebriti salah tidak patut dilakukan kerana boleh menanam sifat kebencian kepada orang ramai.

“Sebenarnya kita ada hak sama ada mahu buat hantaran atau tidak mahupun marah orang yang tidak berbuat demikian tetapi jangan sampai membenci, menghina dan mencaci.

“Ada orang tidak boleh terima tomahan kerana boleh makan mental sendiri dan ada orang jenis tidak kisah.

“Untuk saya, perbuatan tersebut boleh pecah belahkan manusia. Memang tidak patut dan kalau mahu tegur biarlah secara peribadi,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai pandangan mengenai keperluan seseorang selebriti membuat hantaran mengenai kesusahan rakyat Palestin, pelantun lagu Kamu Kamu itu menjelaskan bahawa tindakan tersebut harus dilakukan atas pilihan masing-masing.

“Pandangan peribadi saya, semua manusia ada hak untuk memilih platform menyuarakan atau tidak tetapi sebagai umat Islam semestinya kita kena ada simpati dan berperikemanusiaan kepada saudara di sana.

“Rasanya tidak menjadi salah kalau kita buat hantaran atau tidak, banyak atau sedikit. Yang penting kita tahu apa kita pernah buat.

“Pilihan masing-masing untuk bertindak dengan cara apa sama ada derma atau doa sudah cukup baik,” jelas anak jati Sabah itu.

Sejak beberapa hari lalu, wujud kempen Blockout 2024 dalam media sosial bagi memboikot selebriti dunia yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk didakwa menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI