BRASILIA – Satu rakaman video menunjukkan keadaan sebuah lapangan terbang utama di Brazil yang ditenggelami air sedalam 2 meter ketika banjir besar melanda negara Amerika Selatan itu, lapor akhbar The Sun UK.
Lapangan Terbang Antarabangsa Salgado Filho yang terletak di wilayah selatan, Porto Alegre, terperangkap dalam bencana dianggap paling teruk di negeri Rio Grande Do Sul.
Rakaman video menunjukkan sebuah pesawat terapung atas air bertakung di lapangan terbang yang kini hanya boleh diakses menggunakan bot.
Keseluruhan aras satu dan dua terminal termasuk ruang berlepas, turut dibanjiri air kotor yang dipenuhi dengan serpihan dan haiwan mati, lapor portal berita Globo.
Penerbangan terakhir yang berlepas dari lapangan terbang tersebut adalah pada pukul 8 malam (waktu tempatan) pada 3 Mei lalu.
Sejak itu, pihak berkuasa berusaha sebaik mungkin bagi menyelamatkan lapangan terbang tersebut daripada kerosakan yang lebih teruk.
Sekurang-kurangnya 145 orang terkorban dan lebih setengah juta lagi kehilangan tempat tinggal akibat bencana itu. – AGENSI