PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik atas ilmu dan jasa yang telah dicurahkan.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Islandar, Seri Paduka Baginda bertitah, pengorbanan dan jasa warga pendidik harus sentiasa dikenang kerana peranan mereka begitu penting dalam membangun bangsa dan masyarakat.
“Terima kasih kepada guru-guru yang pernah mendidik kami, ilmu dan bakti kalian akan sentiasa dikenang,” titah Seri Paduka Baginda berdua.
Hari Guru yang disambut setiap 16 Mei adalah bagi menghargai dan mengiktiraf jasa warga pendidik di sekolah serta institut pengajian tinggi.
Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran betapa pentingnya pendidikan dan peranan guru selain memberi peluang kepada pelajar, ibu bapa dan masyarakat menunjukkan penghargaan dan rasa terima kasih kepada mereka. – KOSMO! ONLINE