fbpx

MPSepang diarah baik pulih segera runtuhan tebing di perumahan Cyberjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aiman Athirah meninjau kawasan tanah runtuh di Cassia Garden Residence, Cyberjaya hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

CYBERJAYA – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) diarahkan mengambil tindakan segera membaik pulih runtuhan tebing yang berlaku di perumahan mewah Cassia Garden Residence, di sini yang berisiko mengancam nyawa.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa kerja-kerja pembaikan segera dilaksanakan dengan memasang jeriji besi bagi mengelak runtuhan ekoran pergerakan tanah masih aktif.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Sepang, pihak MPSepang akan melakukan kerja-kerja pembaikan selain dipantau secara terus oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kita akan ambil tindakan segera, saya sudah arahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memasang jeriji besi dahulu dan kemudian kerja-kerja lain akan dilihat dari semasa ke semasa.

“Kita jangkakan dalam tempoh sebulan ini dapat disiapkan termasuk menimbus balik tanah dan memasang balik saluran pembetung yang runtuh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau keadaan tanah runtuh itu di sini hari ini.

Sebelum ini, kira-kira 1,000 penduduk di perumahan itu bimbang keadaan runtuhan tebing di kawasan berhampiran mengundang bahaya dan berisiko mengancam nyawa.

Lebih membimbangkan, runtuhan tebing itu yang dikesan hampir sebulan lalu sudah membentuk kawah sedalam 8 hingga 10 meter atau bersamaan tinggi bangunan tiga tingkat kini semakin menghampiri kawasan kediaman penduduk.

Perumahan mewah Cassia menempatkan 220 unit kediaman bernilai RM1.2 juta yang mula diduduki sejak 13 tahun lalu.

Dalam pada itu, Aiman berkata, berdasarkan pemerhatian awal, tiada keperluan untuk penduduk berpindah kerana ia masih selamat memandangkan jarak antara rumah berhamporan dengan kawasan runtuhan adalah kira-kira 6 meter.

Pada masa sama, katanya, masih terdapat zon penampan dalam jarak bersesuaian dengan rumah penduduk. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI