ALOR SETAR – “Mana ada batu kristal di Gunung Keriang berhantu, siapa pandai-pandai reka cerita itu, saya sudah 40 tahun berniaga di sini.”
Demikian kata salah seorang peniaga, Mahadi Mat Akhir, 58, yang menyifatkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak menularkan cerita mistik seperti itu semata-mata ingin popular di media sosial seolah-olah menabur pasir ke dalam periuk nasi mereka.
“Mereka buat cerita mistik itu ini tentang batu kristal ini, kata ia berhantu dan sebagainya di media sosial pada hari tiga remaja sesat dalam gua di Gunung Keriang. Sudah 40 tahun saya berniaga batu kristal ini dan tiada perkara seumpama itu berlaku.
“Sejak kejadian, kawasan ini jadi bertambah lengang seolah-olah orang takut nak beli batu kristal kami. Ini tidak eloklah, mereka buat cerita di media sosial cakap itu ini dan kami yang menerima natijahnya,” katanya ketika ditemui di kedai batu kristalnya di kaki Gunung Keriang, di sini semalam.
Kata Mahadi, ada yang mempunyai ratusan koleksi batu kristal, insiden remaja sesat di gua batu kristal tersebut tidak mempunyai kaitan dengan kejadian mistik.
“Mereka ini anak-anak muda yang pergi sendirian dan tidak arif tentang selok-belok gua berkenaan. Mereka pergi tanpa juru pandu dan peralatan yang lengkap, bukan semua orang yang tanpa ilmu dan kemahiran mampu masuk ke gua kelam itu.
“Kalau mereka masuk makin ke dalam tentu sukar untuk keluar apabila hari semakin gelap, hal itu tidak ada kena mengena dengan perkara mistik seperti ditularkan,” katanya.
Kata Mahadi, pihaknya berharap semua pihak menghentikan cerita mistik tentang Gunung Keriang dan batu kristal yang terdapat dalam gua di situ.
Sementara itu, menurut seorang lagi peniaga batu kristal, Md. Desa Mustapha, 62, walaupun sudah lima tahun menjual barangan itu, dia tidak pernah mengalami sebarang insiden mistik seperti didakwa netizen di media sosial.
“Saya simpan ratusan batu kristal, kalau betul dakwaan itu saya tentu tak jual lagi batu ini. Pelanggan saya pun tidak pernah lagi menghantar kembali batu kristal yang mereka beli atas alasan mistik,” katanya.