LONDON – Impian Manchester City menempa sejarah baharu yang tidak pernah dilakukan dalam tempoh 135 tahun sebagai kelab pertama yang menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) buat empat musim berturut-turut semakin hampir untuk direalisasikan.
Ketika ini, City berada dalam senarai bersama empat lagi pasukan pernah memenangi tiga kejuaraan liga berturut-turut iaitu Huddersfield Town dari 1923/24 hingga 1925/26, Arsenal (1932/33-1934/35), Liverpool (1981/82-1983/84) dan Manchester United yang melakukannya dua kali pada 1998/99-2000/01 serta 2006/07-2008/09.
Kini, peluang di tangan City susulan kemenangan 2-0 ke atas Tottenham Hotspur di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi semalam, sekali gus merampas puncak teratas EPL dengan kelebihan dua mata ke atas pencabar utama, Arsenal ketika saingan musim ini hanya berbaki satu perlawanan.
Bukan sahaja menghampiri gelaran juara, tetapi kemenangan tersebut turut meleburkan hasrat Spurs beraksi dalam kancah Liga Juara-Juara Eropah musim depan yang sah menjadi milik City, Arsenal dan pasukan tempat ketiga, Liverpool serta Aston Villa di tangga keempat.
Kelebihan juga jelas memihak The Citizens menjelang aksi terakhir Ahad ini kerana anak-anak buah Pep Guardiola tidak pernah tewas kepada West Ham United di laman sendiri, Stadium Etihad dalam tujuh pertemuan liga antara mereka sejak 2015.
Sementara itu, Guardiola menjelaskan City terhutang budi dengan penjaga gol gantian, Stefan Ortega kerana penjaga gol berusia 31 tahun dari Jerman itu hanya beraksi kira-kira 20 minit, namun cemerlang menafikan percubaan penyerang Spurs, Son Heung-min.
“Dia adalah penjaga gol terbaik yang pernah saya lihat dalam situasi satu lawan satu. Dia pemain yang boleh diharapkan dan ia adalah keputusan tepat untuk memasukkannya.
“Ortega melakukan aksi menyelamat berkualiti kerana jika tidak, Arsenal bergelar juara. Inilah realitinya kerana jurang sekarang begitu rapat,” katanya.
Pada perlawanan semalam, Erling Haaland turut diangkat sebagai wira buat City selepas menyumbangkan kedua-dua gol The Citizens.
Sementara itu, pemain tengah City, Rodri turut menghamburkan pujian kepada Ortega yang menganggap penjaga gol itu sebagai pemain berkelas dunia.
“Stefan (Ortega) sungguh luar biasa, jika kami seri, kami boleh dianggap terkeluar daripada persaingan. Saya tiada kata-kata untuk menceritakan aksinya dan ini menyerlahkan bahawa kami memiliki salah seorang penjaga gol terbaik dunia,” jelasnya. – AGENSI