PEMAIN Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid kembali menyertai sesi latihan buat kali pertama kelmarin selepas hampir sembuh daripada kecederaan akibat insiden samun menimpanya dua minggu lalu.
Pemain berusia 25 tahun itu kelihatan bersemangat untuk turun ke padang bagi membantu rakan sepasukan mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) yang baru membuka tirai minggu lalu.
“Buat masa ini, saya cuma menjalani latihan ringan sementara menunggu dua jahitan pada kaki kiri dibuka dalam sehari, dua ini.
“Saya harap kecederaan dialami segera sembuh sepenuhnya bagi membolehkan saya menjalani latihan penuh bersama rakan sepasukan sekaligus menyertai aksi kompetitif,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Akhyar yang merupakan pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) telah disamun dua lelaki tidak dikenali yang melarikan beg dan dompetnya melibatkan kerugian RM4,800 pada pukul 8.30 malam 2 Mei lalu.
Akhyar berkata, walaupun masih trauma dengan insiden hitam berkenaan, dia cuba menguatkan semangat dan mengembalikan semula prestasinya di padang.
Tambah pemain sayap itu, dia akan berusaha mendapatkan kepercayaan pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner untuk terpilih dalam kesebelasan utama skuad Sang Penyu bagi aksi kedua Liga Super menentang Penang FC pada Ahad ini.
Dalam pada itu, Akhyar menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan terhadap kes samun menimpanya.
“Buat masa ini, saya tidak dimaklumkan perkembangan terbaharu, namun telefon bimbit saya masih dalam simpanan PDRM untuk siasatan,” katanya.
Akhyar juga menghargai semua pihak termasuk rakan sepasukan dan penyokong yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhannya.