fbpx

KTB Kampung Bohol dinaik taraf untuk elak banjir besar berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaliha (kiri) dan Mohd Firdaus ketika Sesi Penerangan Keputusan Kerajaan Terhadap Isu Tapak Rizab Kolam Tadahan Banjir (KTB), Bohol, di Mayor’s Courtyard Biro Pelancongan KL, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Dakwaan beberapa pihak dan penduduk bahawa Kolam Takungan Banjir (KTB) Kampung Bohol, Kuala Lumpur, bakal dibangunkan projek perumahan baru, tidak tepat.

Sebaliknya, KTB berkenaan akan dinaik taraf dan direka bentuk semula bagi mengelakkan risiko banjir berulang, menjelang musim monsun akan datang.

Timbalan Pengarah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Mohd Firdaus Ibaruslan, berkata, ia susulan KTB sedia ada tidak berfungsi dengan baik.

“Kapasiti KTB sedia ada hanya boleh tampung sebanyak 150,000 meter padu air.

“Bentuk muka bumi yang berbukit ekoran sebahagian tapak KTB lebih tinggi dari aras Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) menyebabkan limpahan air seperti banjir besar yang berlaku pada Disember 2021 dan Mac 2022 lalu,” katanya.

Susulan itu katanya, ia adalah keperluan mendesak dan boleh dilaksanakan dengan kerjasama pihak swasta berlandaskan spesifikasi KTB yang akan dibangunkan.

“Keluasannya 63.45 ekar (penambahan 2.1 ekar) dengan kapasiti 1.13 juta meter padu air berkedalaman enam meter.

“JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) minta kita perhalusi semula untuk purata selang ulangan (ARI) 100 tahun ke 200 ARI ekoran taburan hujan dan iklim tidak menentu kini,” jelasnya.

Di samping itu katanya, kerajaan dapat menjimatkan hampir RM40 juta bagi kos pembinaan KTB dan kawasan rekreasi menerusi syarikat yang berjaya memenuhi semua syarat JPS.

Malah katanya, projek berkenaan juga mampu meningkatkan hasil kerajaan sebanyak RM41.7 juta.

“Ia melibatkan pelupusan enam plot tanah kerajaan seluas 26.8 ekar untuk kediaman bercampur premium RM41.7 juta dibayar oleh pentender.

“Daripada enam plot, tiga plot dibuat kediaman mampu milik dan Kediaman Madani untuk masyarakat di sekitar Kuala Lumpur khususnya, dan ia ditetapkan untuk kediaman, bukan tujuan komersial,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Penerangan Kolam Takungan Banjir Kampung Bohol, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.

Zaliha berkata, pihaknya akan bertemu dengan persatuan penduduk dalam masa terdekat bagi menjelaskan situasi sebenar supaya tidak lagi berlaku salah faham.

“Mereka perlu tahu fakta sebenar. Naik taraf kolam mesti dilaksanakan sebelum apa-apa pembangunan dilaksanakan.

“Jangka masa projek KTB ini adalah lima bulan. Jadi projek perumahan akan dimulakan lepas KTB diselesaikan terlebih dahulu.

“Pembangunan perumahan pula dalam tiga tahun bergantung kepada keupayaan syarikat,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI