fbpx

Jasa, pengorbanan guru bina anak bangsa sentiasa dikenang – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik yang gigih membina anak bangsa.

Anwar turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga Kementerian Pendidikan (KPM) yang menyemarakkan sambutan hari istimewa itu untuk mengenang jasa termasuk memperkukuh khidmat guru.

Menurutnya, selain pendidikan, mutu ilmu serta nilai dan akhlak juga penting dalam membentuk generasi sekali gus mengangkat martabat bangsa dan negara.

“Saya bernasib baik kerana didikan ibu bapa tentunya dan guru-guru dari kecil sehingga ke universiti.

“Saya masih mengenang jasa mereka dan sentiasa ingat. Tanpa pengorbanan dedikasi mereka, tidak mungkin saya mencapai sedikit kemajuan ke tahap ini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, dalam konteks membentuk masa depan belia, komitmen, peranan dan dukungan guru sememangnya penting.

Namun, katanya, sistem pendidikan negara juga harus dipertingkat bagi memastikan akses yang sama dalam meraih ilmu pengetahuan dengan moral yang tinggi.

“Melahirkan anak bangsa yang berjaya adalah dambaan semua, tidak hanya di pihak pembuat kebijakan.

“Justeru, jutaan penghargaan kepada guru-guru, dan negara ini perlukan kebersamaan kalian terutamanya dalam usaha mewujudkan generasi penerus yang Madani dan berketerampilan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI