KUALA SELANGOR – Pembinaan keseluruhan Lebuh raya Pantai Barat (WCE) di jajaran Tanjong Karang–Assam Jawa di sini, mencapai tahap 71 peratus dan dijangka siap pada Mac 2026.
Lebuh raya melibatkan Seksyen 7 sepanjang 29.5 kilometer (km) itu mampu menjimatkan masa perjalanan sehingga sejam berbanding jalan persekutuan sedia ada.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembinaan jajaran itu melibatkan dua bahagian dari Persimpangan Bertingkat Assam Jawa (Lebuhraya LATAR) sehingga Persimpangan Bertingkat Tanjong Karang.
“Kerajaan komited membina infrastruktur yang selesa dan selamat selain meredakan keresahan rakyat yang berdepan kesesakan teruk lalu di Tanjong Karang dan Kuala Selangor,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan projek lebuh raya Seksyen 7 Lebuh raya Pantai Barat (WCE) di Tanjong Karang di sini, petang ini.
Sementara itu, Alexander memaklumkan, enam lagi syarikat konsesi lebuh raya bersetuju melaksanakan Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) mulai September depan.
Ia melibatkan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuh Raya Linkedua, Lebuh Raya Grand Saga, Lebuh Raya Grand Sepadu dan Lebuh Raya Setiawangsa-Pantai (SPE). – KOSMO! ONLINE