SHAH ALAM – Kebenaran pihak hospital kepada Faisal Halim bertemu anaknya diharap mampu beri suntikan motivasi bagi membolehkannya kekal kuat untuk kembali pulih daripada kecederaan lecur yang dialaminya.
Selain diberi peluang menikmati hidangan Ayam Penyet, Faisal juga kini sudah boleh bertemu anaknya setiap hari.
“Lebih kurang tiga hari lalu, doktor sudah beri kebenaran lawatan daripada anaknya. Saya percaya semalam dia juga sudah menikmati Ayam Penyet,” kata Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Selepas jalani pembedahan ketiga, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey sudah pun dipindahkan ke wad biasa dan dilaporkan sebelum ini bintang Selangor itu turut mengidam nasi kandar.
Dalam perkembangan lain, Shahril juga turut berkongsi yang Mickey sudah berhubung dengan rakan sepasukannya yang kini dalam persiapan untuk berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Sabtu ini.
Khabar itu pastinya menjadi perkembangan positif namun Shahril sebelum ini mahu Mickey kekal fokus kepada proses pemulihannya terlebih dulu sebelum memikirkan tentang bola sepak.
“Proses pemulihannya agak positif dan dia sudah pun dapat berhubung dengan rakan sepasukannya menerusi ‘voice note’,” katanya.
Selepas ini, Mickey dijangka akan menjalani pembedahan keempat yang dijadualkan minggu depan. – KOSMO! ONLINE