ALOR SETAR – Dua lelaki masing-masing Ismail Yaakob, 61, dan Miswan Syah Dasnir, 38, nyaris maut apabila kereta yang mereka naiki dihempap pokok tumbang di Jalan Datuk Kumbar di sini dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang hari ini.
Menurut Ismail, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sri Derga di sini sebelum pokok tersebut tiba-tiba tumbang ketika kereta jenis Perodua Kancil dinaikinya sedang berhenti di simpang jalan.
“Mula-mula saya terdengar jeritan kuat dari kedai makan berhampiran disusuli dentuman kuat lalu terus keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri. Walaupun terselamat, saya rasa agak trauma dengan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pukul 3.43 petang tadi.
“Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati terdapat sebatang pokok tumbang dan menghempap dua kereta. Kedua-dua mangsa berjaya dibawa keluar oleh orang awam dari kereta masing-masing sebelum anggota penyelamat tiba,” katanya. – KOSMO! ONLINE