KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta menubuhkan pasukan petugas bagi meneliti kes pokok tumbang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, ia merupakan sebahagian rancangan jangka pendek bagi mengatasi kes berkenaan yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.
“Rancangan jangka panjang termasuk kenal pasti pokok berisiko untuk dicabut dan ditebang segera.
“Kita akan panggil semua pemegang taruh termasuk badan bukan kerajaan (NGO), aborist dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sesi Penerangan Kolam Takungan Banjir Kampung Bohol, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Tambah beliau, pihaknya juga melihat negara lain yang diketahui mempunyai sistem lebih terperinci berkaitan penanaman pokok di sekitar ibu kota.
“Perancangan jangka panjang pula, DBKL perlu melihat jenis pokok, jarak untuk menanam pokok dan keluasan tanah yang sesuai.
“Sejak 2019, pemantuan dilaksanakan dua tahun sekali dan berdasarkan keadaan sekarang perubahan cuaca yang tidak menentu, kita perlu kerap laksanakan pemantuan,” katanya. KOsmo! ONLINE