fbpx

K2

Bolehkah sambut Hari Ibu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENURUT ulama kontemporari, terdapat dua pandangan menyambut Hari Ibu bagi orang Islam. – Gambar hiasan

Apakah hukum seorang Muslim menyambut perayaan Hari Ibu? Adakah sambutan ini dianggap menyerupai golongan kafir? Mohon pencerahan Datuk Mufti.

Jawapan: Menurut sejarah moden, sambutan Hari Ibu dimulakan di Amerika Syarikat (AS) oleh Anna Jarvis dari Philadelphia bagi memperingati ibunya yang telah menganjurkan sekumpulan gerakan wanita untuk mempromosikan persahabatan dan kesihatan.

Pada 12 Mei 1907, beliau mengadakan upacara peringatan Hari Ibu di gereja mendiang ibunya di Grafton, Virginia Barat. Dalam tempoh lima tahun, hampir setiap negeri di AS melakukan sambutan itu. Oleh yang demikian, pada tahun 1914, Woodrow Wilson selaku Presiden AS menjadikan setiap hari Ahad minggu kedua bulan Mei sebagai cuti kebangsaan.

Lama-kelamaan sambutan Hari Ibu tidak terhad kepada susuk ibu sahaja, malah ia juga meraikan setiap golongan yang memainkan peranan sebagai ibu seperti nenek dan ibu saudara.

Banyak negara lain turut merayakan Hari Ibu pada tarikh ini, manakala sesetengah negara memperuntukkan perayaan itu pada hari lain.

Namun begitu, tidak dinafikan perayaan Hari Ibu ini telah bermula pada zaman tamadun purba lagi bagi memperingati para dewi kepercayaan masing-masing.

Masyarakat Frigia menyambut Hari Ibu bagi memperingati dewi Cybele, Great Mother of the Gods, manakala mengikut kepercayaan Yunani, perayaan itu disambut bagi memperingati dewi Rhea. Perayaan ini juga diadaptasi oleh agama-agama lain yang menyambutnya bersesuaian dengan kepercayaan dan cara masing-masing seperti masyarakat di India yang menyambut Durga-puja.
Islam memandang tinggi akan darjat dan kemuliaan ibu bapa.

Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menegaskan tentang kewajipan memuliakan ibu bapa dan kewajiban berbakti terhadap kedua-duanya.

Firman Allah SWT: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.

Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).” (Surah al-Ahqaf :15)

Imam al-Maraghi menafsirkan ayat di atas bahawa Allah SWT memerintahkan serta mewajibkan sekalian manusia untuk berbuat baik dan berbelas kasihan kepada ibu bapanya dan berbakti kepada mereka semasa hayat dan selepas kematiannya.

Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala besar kepada orang yang berbakti kepada ibu bapanya kerana ia merupakan ibadah yang paling utama untuk dilakukan, bahkan mereka menderhakai kedua-duanya, maka perbuatan itu termasuk dalam dosa-dosa besar.

Allah SWT mengkhususkan perbuatan berbuat baik kepada ibu kerana mereka merupakan golongan banyak melakukan kebajikan, golongan lemah dan lebih memerlukan penjagaan dan perhatian.
Ini sepertimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis di mana Nabi SAW bersabda bahawa seorang ibu berhak mendapat layanan kebaikan tiga kali ganda lebih daripada seorang bapa.

Menurut ulama kontemporari, terdapat dua pandangan menyambut Hari Ibu:

Haram: Penglibatan umat Islam dalam apa-apa perayaan yang menyerupai agama lain adalah dilarang menurut syarak. Hal ini berpandukan kepada hadis daripada Ibn Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dalam kalangan mereka.” (Riwayat Abu Daud)

Menurut Imam al-San’ani, hadis ini menunjukkan ke atas mereka yang menyerupai golongan fasik, kafir atau pembuat bidaah pada setiap sesuatu yang dikhususkan dengan mereka seperti pakaian (syiar agama mereka), tunggangan atau perilaku mereka, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.

Tambahan pula, Imam al-Damiri menjelaskan: “Sesiapa yang mengikuti orang-orang kafir dalam perayaan-perayaan mereka perlu dijatuhkan hukuman takzir (oleh pemerintah).”

Harus: Menurut Jabatan Fatwa Jordan, sekiranya yang dimaksudkan oleh ‘Hari Ibu’ apabila mereka menghargai ibu masing-masing dan menghadiahkan ibu dengan hadiah, maka ia bukanlah termasuk dalam istilah perayaan.

Bahkan, ia adalah hari menghargai dan menzahirkan kasih sayang untuk ibu.

Memuliakan ibu pada hari tersebut dalam pengertian ini adalah suatu adat kebiasaan yang tidak bercanggah dengan syarak. Ia menekankan kepentingan mensyukuri dan menghargai ibu bapa tanpa mengira masa dan tempat.

Memuliakan ibu pada Hari Ibu bukanlah dianggap satu tasyabbuh yang dilarang kerana sambutan ini tidak melibatkan upacara-upacara khusus dalam agama lain yang bertentangan dengan akidah Islam.

Kesimpulan, hukum sambutan Hari Ibu adalah dibenarkan dan tidak bercanggah dengan syarak kerana ia bukan termasuk dalam perayaan keagamaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI