fbpx

‘Tolak tawaran jenama antarabangsa walaupun bayaran mahal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ella mempunyai pandangan tersendiri berhubung gerakan Blockout 2024.

KUALA LUMPUR – Ratu rock, Ella mengingatkan pengguna media sosial agar tidak membuat tuduhan melulu terhadap selebriti yang didakwa menyokong produk jenama berkaitan Israel.

Ella atau Nor Zila Aminuddin, 58, berkata, semakan terperinci perlu dilakukan sebelum menyenaraikan artis tempatan dalam gerakan Blockout 2024 bagi memastikan mereka benar-benar pro-Israel.

“Selidik dulu sebelum jatuh hukum dengan mengatakan seseorang itu tidak mempedulikan nasib rakyat Palestin.

“Kena pastikan betul-betul sebelum boikot,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada sidang media konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia, semalam.

Menurut Ella, sekiranya seseorang itu tidak banyak berkongsi mengenai situasi semasa di Gaza, tidak bermakna mereka kurang prihatin.

“Kalau tak bersuara, tak bermaksud tak sokong Palestin. Misalnya konsert Jilid Akhir Ella Puteri Kota Edisi Utara di Pulau Pinang sebelum ini.

“Kami bukan sahaja adakan satu segmen khas, bahkan kami dedikasikan keseluruhan konsert sebagai memperingati keadaan semasa di sana,” katanya.

Pada masa sama, Ella mengakui berpegang kepada prinsip sehingga menolak tawaran beberapa jenama fesyen yang mempunyai kaitan dengan Israel.

“Ya, saya tolak beberapa tawaran jenama antarabangsa yang dikaitkan dengan Israel walaupun bayarannya lumayan.

“Saya ambil keputusan sebegitu semua kerana prinsip saya hanya mahu pastikan produk yang saya wakili mempunyai elemen kemanusiaan.

“Saya juga akan meminta pasukan pengurusan saya meneliti dulu sebarang tawaran sebelum menyatakan persetujuan,” ujarnya.

Gerakan Blockout 2024 bermula di pertunjukan fesyen Met Gala di New York pada 6 Mei lalu sebagai bantahan terhadap selebriti yang membisu mengenai penindasan Zionis terhadap Palestin.

Disebabkan gerakan tersebut, bintang realiti Kim Kardashian hilang tiga juta pengikut media sosialnya diikuti Blackpink, Taylor Swift dan Selena Gomez.

Tindakan boikot menerusi kaedah nyahikut dan menyekat media sosial selebriti sasaran turut menular di sini apabila lebih 20 artis dan pempengaruh media sosial tempatan disenaraikan.

Mengenai konsert pula, Ella mengakui teruja bakal merealisasikan konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia di Plenary Hall, KLCC pada 9 Ogos depan.

Kongsinya hampir 30 lagu bakal diperdengarkan sepanjang dua jam persembahan mega yang menggabungkan orkestra bersama
pemuzik pengiring.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI