JOHOR BAHRU – Seorang remaja sanggup meninggalkan alam persekolahan buat sementara waktu demi berbakti kepada ibunya yang kini terlantar akibat kanser paru-paru tahap empat.
Pelajar tingkatan empat Sekolah Maahad Tahfiz Sains Al-Insirah, Akmal Fikri Jaafar, 16, berkata, pihak sekolah membenarkannya mengambil cuti untuk menjaga ibunya, Monisa Parmin, 49, terlantar sejak awal tahun ini.
Kata anak bongsu daripada dua beradik itu, dia tidak sanggup melihat ibunya terlantar sakit keseorangan di rumah dan sebab itu dia mengambil keputusan bercuti.
“Ibu dikesan kanser sejak Januari lalu ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah akibat sesak nafas. Ketika itu kanser sudah di tahap empat.
“Saya memandikan ibu dengan mengangkatnya ke bilik air dan menukar lampin pakai buang dan memasak makanan,” katanya.
Menurut Akmal Fikri, ibunya sudah berpisah dengan bapanya pada 2009 dan dia tidak pernah berjumpa atau melihat wajah lelaki itu.
Tambahnya, dia sanggup berkorban jiwa dan raga untuk menjaga ibunya hingga ke akhir hayat walaupun tanpa bapanya di sisi.
“Abang, Amirul (18) pula terpaksa bekerja di sebuah kilang membuat tauhu di Tampoi dan menyewa di tempat kerjanya setelah habis tingkatan lima sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya.
Ujar Akmal Fikri, abangnya akan balik setiap minggu bagi membeli keperluan harian seperti makanan dan bahan asas lain.
“Ibu bergantung pada mesin oksigen sejak dua bulan lalu dengan sewa RM500 sebulan dan ditanggung oleh guru sekolah saya,” katanya.
Menurut Akmal, dia amat terharu dan berterima kasih kerana ustaz sekolahnya, Mohamad Halimi Kolan sanggup membayar sewa mesin oksigen serta membayar sewa rumah sebanyak RM450.
“Hanya Allah saja yang dapat membalas jasa Ustaz Mohamad Halimi yang tak putus-putus membantu terutama masalah kewangan,” ujarnya.
Sehingga kini, Akmal berkata, mereka sekeluarga tidak menerima mana-mana bantuan daripada agensi yang bertanggungjawab.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh melakukannya melalui akaun Bank Simpanan Nasional milik Monisa bernombor 01153 41000038483.