PETALING JAYA – Cukup dengan percikan api kecil, kebakaran di stesen minyak dapat dicetuskan jika tidak dielakkan serta-merta.
Menurut hantaran Public Health Malaysia (PHM), percikan api merupakan komponen penting untuk mencetuskan kebakaran selain bahan api (petrol) dan oksigen.
Ujarnya, dengan penyingkiran salah satu komponen penting ini, risiko kejadian kebakaran di stesen minyak akan dapat dikurangkan.
“Satu-satunya elemen yang boleh dielakkan adalah percikan api. Wap petrol adalah lebih berat berbanding udara.
“Oleh itu ia akan berkumpul di bahagian bawah udara. Hanya percikan api yang sedikit dapat menyebabkan api merebak dengan pantas terutama di zon 0 dan zon 1.
“Di Malaysia, stesen petrol adalah hub tumpuan pengunjung untuk ke tandas, menggunakan surau, mengambil duit dan membeli belah. Sekiranya berlaku bencana kebakaran ramai mangsa yang akan terlibat dan akan terkorban,” tulisnya.
Tambah PHM, orang ramai diminta berfikir dengan sebaiknya sebelum melakukan aktiviti berisiko di sekitar kawasan berisiko seperti di stesen minyak.
Terdahulu, tindakan sekumpulan individu ‘berkelah’ di sebuah stesen minyak di Genting Highlands mendapat kecaman orang ramai.
Menerusi sebuah video berdurasi satu minit dua saat yang tular di media sosial mendapati, beberapa individu bertindak melepak di stesen minyak tersebut sambil memasak mi segera.
Di dalam video itu turut kelihatan terdapat sebuah kereta peronda memasuki stesen berkenaan berikutan terdapat ramai individu berkumpul di stesen minyak tersebut. – KOSMO! ONLINE