JOHOR BAHRU – Pemandu mabuk yang merempuh atlet kayak negara sehingga cedera parah di Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) menuju ke Southkey, di sini pada Sabtu lalu mempunyai tujuh saman trafik tertunggak.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 4.30 petang.
“Mangsa yang menunggang motosikal dirempuh daripada arah belakang oleh kereta Toyota Vios berwarna merah yang dipandu lelaki berusia dalam lingkungan 30-an.
“Kenderaan itu dikatakan menukar lorong dari laluan tengah ke kiri secara tiba-tiba menyebabkan berlakunya kemalangan sehingga mangsa retak bahu kanan dan tulang pinggul, selain beberapa luka di kaki.
“Pemandu kereta disahkan menerusi ujian pernafasan. Lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Raub, mangsa kini dirawat di Hospital Columbia Asia Iskandar Puteri. Pemandu pula ditahan selama 24 jam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Terdahulu, Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ibrahim Sultan mengesahkan Siti Nurul Masyitah Md. Elias, 22, merupakan pelajar semester enam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan aktif dalam sukan kayak. – KOSMO! ONLINE