fbpx

Orang suka kecam saya sebab mereka stres – Sharifah Sakinah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sharifah Sakinah kini muncul dengan filem terbaharu berjudul Ngesot.

APABILA sebut sahaja nama Sharifah Sakinah, pelbagai kontroversi bermain di benak fikiran terkait pelakon dan pengacara itu.

Tidak mengira sama ada kenyataan berunsur sarkastik, berpakaian seksi, memegang anjing dan bermacam isu panas lain .

Itu semua bagaimanapun tidak ‘mematikan’ wanita yang mesra disapa sebagai Sakinah. Baginya, itu semua adalah sepak terajang bergelar anak seni.

Sebagai individu yang sentiasa menjadi sasaran umum, Sakinah mengakui tidak dapat lari daripada menerima kecaman dan kritikan khususnya dalam media sosial.

“Sesekali apa yang dikongsikan di media sosial memang mendapat perhatian. Saya akui dan terima perkara itu kerana semua orang ada pandangan masing-masing.

“Apabila perkara itu berlaku, saya akan menjelaskan kepada keluarga. Lagi pula kita kena faham bahawa orang ramai sekarang banyak yang tertekan.

“Jadi, cara mudah untuk menyalurkan kemarahan mereka itu ialah dengan cara mengeluarkan kenyataan di media sosial,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Tidak menafikan kenyataan ‘pedas’ itu sedikit sebanyak mencuit hati kecilnya, namun Sakinah lebih senang memilih untuk tidak membuat sebarang kenyataan balas.

“Bila kita lihat komen yang diberikan, pengikut ini juga mempunyai karakter mereka tersendiri. Sama seperti berlakon, setiap individu ada personaliti dan watak masing-masing.

Sakinah sudah lali dengan segala kecaman yang dilemparkan kepada dirinya kerana baginya, itulah harga yang perlu dibayar sebagai seorang anak seni.

“Sebahagian mereka menyokong, ada yang mengkritik dan ada pula yang memberi nasihat.

“Bagi saya respons terbaik adalah tidak memberi respons. Diamkan diri. Jika saya ada berbuat salah, saya akan mohon maaf.

“Apabila ada saja komen negatif, saya tidak boleh mengatakan mereka itu berfikiran kuno atau tidak satu kepala dengan saya. Ini kerana saya tidak dibesarkan dengan begitu,” katanya.

Refleksi diri

Biarpun kelihatan utuh dikecam, namun Sakinah pernah merehatkan diri daripada menggunakan media sosial. Sekitar beberapa tahun lalu ketika usianya 30 tahun, dia mengambil pendekatan mendapatkan rawatan kesihatan mental secara profesional.

Setelah tiga tahun ‘berpuasa’ daripada media sosial, Sakinah perlahan-lahan mula aktif semula sehinggalah dia kini sudah mencecah umur 35 tahun.

“Waktu itu saya memang merehatkan diri sekejap dan mendapatan rawatan psikiatri selain membaca banyak buku yang banyak memberi inspirasi. Kemudian perlahan-lahan saya kembali aktif di media sosial.

“Saya menggunakan media sosial bukan untuk mengutuk atau mencari perhatian. Tetapi, saya berusaha memberikan inspirasi kepada orang lain dan cuba untuk memberikan kesedaran kepada kesihatan mental.

“Saya juga kena sedar bahawa setiap kandungan yang dikongsikan ada impaknya kerana apa sahaja yang dikongsikan tentu akan diperkatakan,” jelas ibu anak satu itu.

Terus rancak bercerita tentang media sosial, Sakinah memberitahu, dia berasa kecewa dengan tahap kandungan digital masa kini yang dianggap menjurus ke arah negatif.

Bukan bersikap ‘tunjuk pandai’, Sakinah bagaimanapun percaya kandungan berunsurkan kisah peribadi atau mampu mencetuskan kemarahan pasti akan mendapat perhatian.

Tidak menuding jari kepada sesiapa, Sakinah akui hal itu sememangnya menjadi sifat lahiriah terutama di gelanggang media sosial.

Menurutnya, pengguna media sosial juga perlu tahu bagaimana hendak membuat pilihan kandungan digital agar tidak terlalu terpengaruh.

“Kita sendiri yang tentukan apa yang ingin ditonton. Jika kita suka menonton drama tentang masalah rumah tangga, maka kita akan tertarik dan terikut-ikut emosi melibatkan perkara sebegitu.

Setelah tiga tahun ‘berpuasa’ daripada media sosial, Sakinah perlahan-lahan mula aktif semula sehinggalah dia kini sudah mencecah umur 35 tahun.

“Jika kita minat kepada muzik, maka fikiran kita lebih kepada muzik. Kadangkala pemikiran di bawah separa sedar itu akan membuatkan kita turut berasa emosi sehingga mengeluarkan perkataan yang kurang enak di media sosial,” jelasnya.

Kualiti lakonan

Beralih kepada kerjaya lakonan, Sakinah memberitahu, selain meningkatkan kemahiran lakonan, pelakon juga perlu menguasai kemahiran ekspresi wajah ketika menghidupkan watak.

Kata Sakinah, filem baharu lakonannya bertajuk Ngesot banyak memberi ruang buatnya bermain dengan ekspresi dan emosi.

Tidak dinafikan, naskhah arahan Ayez Shaukat terbitan Kash Pictures Sdn. Bhd. dan Temasek Studios serta edaran Metrowealth (MiG), tidak melibatkan banyak dialog.

Sebaliknya, dia perlu bermain dengan perasaan dan reaksi wajah bagi menjayakan watak sebagai Nisa iaitu wanita hamil yang khuatir akan keselamatan suaminya.

“Sebagai pelakon kita bukan sahaja perlu menambahkan kemahiran lakonan, tetapi turut kemahiran emosi watak.

“Filem ini banyak bermain dengan emosi. Kita ingin pamerkan kekuatan seorang wanita yang dia tidak akan menitiskan air mata menunggu suami yang tidak pulang ke rumah setelah beberapa hari di samping dirinya sendiri sedang hamil,” terangnya.

Sakinah bersama anak tersayang, Anais Adha yang kini kian membesar dan menunjukkan kecenderungan untuk berkecimpung dalam dunia seni. – INSTAGRAM

Filem berkonsepkan survival thriller itu diangkat daripada kisah benar tentang seorang mangsa kemalangan jalan raya yang terselamat meskipun mengalami cedera parah.

Ngesot mengisahkan tentang dua sahabat iaitu Faizal lakonan Zul Huzaimy dan Ashraf (Luqman Hafidz) yang mengalami kemalangan jalan raya dan terjatuh di dalam gaung.

Filem yang menjalani penggambaran selama 14 hari di hutan Gombak, Kuala Lumpur itu turut dibintangi oleh Khir Rahman, Zakaria Zahid dan Erynn Abdullah.

Ngesot arahan Ayez Shaukat mula ditayangkan di pawagan seluruh negara bermula 5 Mei lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI