fbpx

Masca harapkan kepulihan Siti Nurul Masyitah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NURUL MASYITAH

KUALA LUMPUR – Atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Md. Elias yang dipercayai dilanggar seorang pemandu mabuk di Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) pada Sabtu lalu disahkan mengalami kecederaan parah dan terpaksa ditidurkan sejurus selamat menjalani pembedahan lebih dari lima jam semalam.

Presiden Persatuan Kanu Malaysia (Masca), Raja Shahrul Azremel Raja Sahar berkata, atlet berusia 22 tahun itu telah selamat menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di Johor Bahru akibat kecederaan serius patah bahu kanan, pinggul, kaki kiri dan termasuk kecederaan badan kulit terkoyak selepas diseret kira-kira 600 meter (m).

“Saya dimaklumkan pembedahan Siti Nurul Masyitah berjalan dengan lancar dengan bahagian pelvis kiri dan kanan di pasang plate. Skru turut dipasang di bahagian kaki kirinya serta tulang bahu berdekatan dengan tulang selangka turut dipasang skru.

“Tapi, ketika ini Siti Nurul terpaksa ditidurkan kerana saya dimaklumkan bahagian belakangnya terutama kulit yang tersiat itu masih belum tampal sepenuhnya. Jadi, kes ini akan dirujuk kepada pakar pembedahan plastik untuk membincangkan masalah kecederaan tersebut.

“Saya dimaklumkan, Siti Nurul berada dalam keadaan stabil dan dia masih berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan rapi. Jadi, kami masih menunggu berita baik dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Dalam pada itu, Raja Shahrul turut terkejut dengan insiden yang menimpa atlet negara itu kerana mengakui Siti Nurul adalah atlet negara yang komited dalam latihan malah turut terpilih dalam sesi pemilihan mewakili Malaysia ke kejohanan antarabangsa akan datang.

“Dia (Siti Nurul) seorang yang rajin dan komited dalam latihan. Malah, dia adalah pemenang pingat gangsa ketika temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja.

“Jadi, dengan apa yang menimpa Siti Nurul adalah mengejut bukan kepada saya seorang, tetapi seluruh keluarga sukan kayak ini. Untuk melahirkan atlet yang terbaik sepertinya bukan mudah dan kami benar-benar simpati dengan apa yang terjadi ini, saya harap Siti Nurul cepat pulih,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI