PENULIS menuntut di universiti circa hujung 1990-an hingga 2000-an ketika ‘demonstrasi’ menjadi perkataan yang paling hangat di kampus-kampus negara ini atas sebab musabab yang semua sedia tahu.
Penulis hidup dalam era universiti yang mahasiswanya melaungkan ‘hapuskan AUKU!’ dengan sekumpulan aktivis terutama kader-kader mahasiswa Muslim yang jiwanya meronta-ronta ditiup lagu Sunnah Orang Berjuang untuk menunjukkan ekspresi di jalanan tetapi larangan paling keras diberikan.
Penulis tidak pasti apakah jiwa sebegitu masih wujud dalam kalangan generasi mahasiswa Malaysia hari ini di zaman yang kerajaannya sendiri pernah berjanji untuk hapuskan semua peruntukan Akta Universiti Kolej Universiti yang menyekat kebebasan mahasiswa. Retorikkah?
Apa yang pasti, di luar negara pada masa ini kita menyaksikan kebangkitan yang cukup mengagumkan mahasiswa-mahasiswa terutama di Barat dalam isu Gaza, Palestin.
Tidak salah kalau dikatakan mereka adalah golongan paling hebat dalam menunjukkan penentangan terhadap Israel. Mereka sanggup merisikokan pengajian sendiri dan berani meninggalkan majlis graduasi.
Mahasiswa itu yang mana kebanyakannya bukan Islam bertindak lebih hebat daripada kita di Malaysia yang seagama dengan bangsa sedang dibantai Zionis. Kita di sini diseru untuk boikot dan Blockout juga ada yang pertikai. Malu rasanya.
Gelombang Pro-Palestin mahasiswa itu bermula di Amerika Syarikat (AS) dengan Columbia University pada pertengahan April lalu diikuti dengan puluhan kampus negara itu termasuk universiti popular bijak pandai dunia seperti Harvard, Yale dan lain-lain. Seramai lebih 2,500 orang mahasiswa telah ditangkap oleh pihak berkuasa.
Ombak protes itu kini menjalar ke benua Eropah termasuk di United Kingdom meliputi Oxford, Cambridge dan lain-lain selain universiti-universiti negara Finland, Jerman, Switzerland, Belanda, Perancis, Sepanyol dan banyak lagi.
Jangan pandang sebelah mata kebangkitan mahasiswa, kerana sejarah telah membuktikan banyak peristiwa hitam dunia yang mula berubah kerana perjuangan mahasiswa.
Protes mahasiswa di Kent State University, AS sehingga empat nyawa terkorban menjadi titik tolak tsunami seluruh masyarakat dunia menentang Perang Vietnam pada 1970.
Begitu juga kejatuhan rejim Apartheid di Afrika Selatan yang turut ditunjangi oleh protes universiti-universiti Amerika pada 1980-an.
Seorang pempengaruh Malaysia di media sosial yang pernah menuntut di AS mengakui anjakan yang dilihat begitu mengejutkannya mengambil kira pada era universitinya (semasa Intifada I dan II) nak kumpulkan 20 orang mahasiswa pun susah.
Pensyarah sebuah universiti di Eropah, Dr. Sami Al-Arian berpandangan, Zionis juga takut kepada kebangkitan mahasiswa kerana keupayaan mereka mempengaruhi masyarakat.
Bagi penulis juga, ini semua menjadi manifestasi bahawa golongan intelektual tinggi itu ialah golongan berotak dan jika kita mempunyai otak, kita pasti mempunyai hati. Sudah terbukti bahawa cuma yang betul-betul ada otak, ada hati!