KUALA LUMPUR – Waris kepada kru kapal Malaysia yang ditemui maut di perairan Bangladesh pada 10 Mei lalu layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, hasil semakan mendapati kru kapal MTT Sapangar adalah pencarum aktif bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak 2011.
Justeru itu, katanya, ibu bapa Allahyarham Muhammad Isa Muhammad Veeramohan layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) kerana masih belum berkahwin.
”Muhammad Isa, 31 tahun meninggal dunia selepas terjatuh di laut dari kapal semasa memasang pilot ladder di Pelabuhan Chittagong, Bangladesh pada 8 Mei lalu.
“Mayatnya ditemui terapung sekitar perairan Bangladesh pada 10 Mei oleh pasukan penyelamat sekali gus melayakkan waris keluarga beliau menerima Faedah menerusi Skim Bencana Pekerjaan.
”Ibu bapanya, Muhammad Veeramohan Abdullah, 72 tahun dan Rabiah Buang, 61, menerima FPM sebanyak RM2000 secara sekali bayar serta akan menerima FOT bulanan berjumlah RM1,417.32 untuk sepanjang hayat mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke kediaman waris di Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang dalam Ziarah Prihatin untuk menyerahkan bayaran FPM dan penyerahan Kotak Prihatin.
Dalam pada itu, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Perkeso turut menzahirkan penghargaan kepada Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Malaysia (NUSPM) yang banyak membantu dalam proses pengumpulan maklumat berkenaan kemalangan terbabit.
“Kita juga berharap bantuan yang diberikan mampu membantu waris keluarga meneruskan kehidupan selepas ketiadaan Allahyarham,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan seorang rakyat Malaysia dikatakan terjatuh dari kapal ketika memasang ‘pilot ladder’, dalam kejadian di perairan Chittagong, Bangladesh, pada Rabu lalu. -KOSMO! ONLINE.